Terkini
Pelawak Singapura dituntut buat permohonan maaf
Pelawak popular, Saiful Apek dan Nabil Ahmad menyelar tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri di negara itu, baru-baru ini.
- Pelawak popular, Saiful Apek dan Nabil Ahmad menyelar tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri di negara itu, baru-baru ini.
- Apek berkata, walaupun bahan ‘membahan’ menjadi satu kebiasaan dalam persembahan lawak berdiri, namun tindakan pelawak itu keterlaluan dan lebih berbaur serangan peribadi.
- “Bagi saya, pelawak wanita ini perlu buat permohonan maaf secara ikhlas, bukan setakat lepaskan batuk di tangga,” katanya kepada BH Online.
- Nabil pula menyifatkan bahan dipersembahkan pelawak Singapura itu langsung tidak lucu.
- “Sekarang terpulang pada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan seperti dicadangkan netizen yang meminta agar wanita itu dihalang memasuki Malaysia,” katanya.
KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Saiful Apek dan Nabil Ahmad menyelar tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri di negara itu, baru-baru ini.
Apek berkata, walaupun bahan ‘membahan’ menjadi satu kebiasaan dalam persembahan lawak berdiri, namun tindakan pelawak itu keterlaluan dan lebih berbaur serangan peribadi.
“Bahan ‘membahan’ dalam komedi berdiri adalah sesuatu biasa, tetapi tindakan wanita ini dilihat melampaui batas.
“Saya geram tindakannya, tetapi saya tidak mahu hanya disebabkan pelawak ini, semua orang akan terkena tempias.
“Saya percaya tentu ada rakyat Singapura tidak bersetuju dengan tindakannya itu,” katanya kepada BH Online.
Apek berkata, ada berjuta bahan boleh dijadikan pengisian melawak, tetapi kenapa memainkan sentimen negara.
Katanya, dia berharap pelawak wanita itu membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Ada mencadangkan agar dia tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, tetapi itu terpulanglah kepada kerajaan untuk mengambil tindakan.
“Bagi saya, pelawak wanita ini perlu buat permohonan maaf secara ikhlas, bukan setakat lepaskan batuk di tangga,” katanya.
Apek berkata, tindakan keterlaluan wanita itu boleh menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
“Malaysia dan Singapura saling memerlukan. Jadi, bila menyentuh isu seperti ini tentulah boleh mendatangkan kemarahan, apatah lagi melihat ‘memek’ muka dan nada suara yang sangat menjengkelkan,” katanya.
Sementara itu, Nabil menyifatkan bahan dipersembahkan pelawak Singapura itu langsung tidak lucu.
Nabil berkata, perkara ‘membahan’ sering berlaku, tetapi tidaklah keterlaluan seperti dilakukan pelawak Singapura itu.
“Pelawak lain ada ‘membahan’, tetapi topik mereka kelakar. Pelawak wanita ini langsung tidak kelakar.
“Masyarakat Malaysia tinggi dengan maruah dan budi bahasa. Jadi, apa yang pelawak wanita ini lakukan terlalu menghina,” katanya.
Tambah Nabil, dia bernasib baik melakukan persembahan di negaranya.
“Barangkali, jika pelawak wanita ini buat persembahan seperti ini pasti tindakan akan dikenakan.
“Sekarang terpulang pada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan seperti dicadangkan netizen yang meminta agar wanita itu dihalang memasuki Malaysia,” katanya.
Terdahulu, seorang pelawak wanita dipercayai kelahiran Singapura bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di negara itu, baru-baru ini.
Menerusi klip video dimuat naik menerusi akaun TikTok, Chia turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Sepanjang rakaman video berdurasi 1 minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Chia berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.
Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’.
Sumber: Berita Harian