Antarabangsa
Erdogan jatuh sakit ketika siaran langsung, terpaksa batal kempen pilihan raya
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan membatalkan kempen pilihan raya selepas jatuh sakit ketika bersiaran langsung.
- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan jatuh sakit ketika sedang di wawancara secara langsung di televisyen.
- Erdogan mengumumkan yang dia menghidap “selesema perut yang serius” dan membatalkan beberapa program kempen pilihan rayanya.
- Pengundian dalam pilihan raya Parlimen dan presiden akan berlangsung pada 14 Mei depan, menyaksikan Erdogan dan Ketua pembangkang utama, Kemal Kilicdaroglu merebut jawatan presiden negara itu.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan membatalkan kempen pilihan raya selepas jatuh sakit ketika bersiaran langsung.
Memetik laporan BBC, siaran langsung wawancara Erdogan di kaca televisyen itu terpaksa dihentikan secara mengejut.
Selepas berehat selama 20 minit, dia kembali bersiaran dan memberitahu bahawa dia menghidap “selesema perut yang serius” selepas dua hari berkempen.
Erdogan juga sedang menghadapi kempen pilihan raya yang paling sukar setakat ini.
Ketua pembangkang utama, Kemal Kilicdaroglu telah dipilih untuk bertanding bagi enam parti politik.
Dia antara beberapa pemimpin pembangkang yang mendoakan kesembuhan untuk pemimpin Turkiye itu.
Erdogan pada mulanya membatalkan tiga penampilan kempen di pusat Anatolia pada Rabu, mengatakan yang dia dinasihatkan doktor untuk berehat di rumah.
Presiden Turkiye itu kemudian membatalkan acara yang dijadualkan pada Khamis, termasuk pembukaan stesen janakuasa nuklear pertama Turkiye di Akkuyu, pantai Mediterranean.
Dia yang kelihatan pucat dan letih hanya menyertai Vladimir Putin dari Rusia mengambil bahagian dalam perasmian itu secara dalam talian.
Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca pada Khamis berkata kesihatan Erdogan dalam keadaan yang baik dan dia mengalami “gastroenteritis berjangkit”.
Katanya, Erdogan akan menyambung semula program hariannya seperti yang dijadualkan secepat mungkin.
Tinjauan terkini memberi bayangan yang saingan untuk jawatan presiden negara itu agak sengit dengan Kilicdaroglu dilihat mempunyai peluang cerah untuk menang.
Pengundian dalam pilihan raya Parlimen dan presiden akan berlangsung pada 14 Mei depan.
Jika tiada calon presiden yang memenangi lebih daripada separuh undi, pusingan kedua undian akan dijalankan dua minggu selepas itu.
Pengundian telah bermula untuk 3.3 juta rakyat Turkiye di luar negara yang mempunyai tempoh sehingga 9 Mei ini untuk membuang undi.
Sumber: BBC