Terkini
FSA2 KWSP: Institusi perbankan perlu ada konsep ta’awun
Institusi perbankan perlu mempunyai konsep ta’awun iaitu prinsip tolong-menolong kepada pelanggan dan bukan meletakkan keuntungan semata-mata, terutama dalam hal membabitkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
- Institusi perbankan perlu mempunyai konsep ta’awun iaitu prinsip tolong-menolong kepada pelanggan dan bukan meletakkan keuntungan semata-mata, terutama dalam hal membabitkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
- Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, ahli KWSP dapat dibahagi kepada dua kategori iaitu golongan yang tidak terdesak dengan keperluan kewangan dan mereka yang terdesak yang memerlukan wang untuk kelangsungan hidup.
- Katanya, jelas bahawa mereka yang memohon FSA2 KWSP adalah golongan yang amat memerlukan dana kewangan bagi menjalani hidup yang penuh dengan cabaran pada masa ini, apatah lagi sambutan Aidilfitri yang semakin dekat menyebabkan tuntutan kepada keperluan dana sangat ditagih.
Kuala Lumpur: Institusi perbankan perlu mempunyai konsep ta’awun iaitu prinsip tolong-menolong kepada pelanggan dan bukan meletakkan keuntungan semata-mata, terutama dalam hal membabitkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, ahli KWSP dapat dibahagi kepada dua kategori iaitu golongan yang tidak terdesak dengan keperluan kewangan dan mereka yang terdesak yang memerlukan wang untuk kelangsungan hidup.
Katanya, jelas bahawa mereka yang memohon FSA2 KWSP adalah golongan yang amat memerlukan dana kewangan bagi menjalani hidup yang penuh dengan cabaran pada masa ini, apatah lagi sambutan Aidilfitri yang semakin dekat menyebabkan tuntutan kepada keperluan dana sangat ditagih.
“Oleh itu, jika pihak bank meletakkan status kewangan dan muflis sebagai antara syarat untuk meluluskan pembiayaan FSA2 KWSP maka daripada satu aspek ia dianggap baik kerana sekurang-kurangnya pihak bank melakukan pengurusan risiko hutang bagi bank itu sendiri agar mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan membayar balik pembiayaan yang diluluskan.
“Ia juga secara tidak langsung menolong ahli KWSP mempunyai simpanan selepas hari persaraan mereka.
“Namun dari sudut lain, syarat ini agak kurang mesra rakyat kerana pihak bank juga harus faham terdapat sebahagian ahli KWSP yang begitu terdesak memerlukan dana demi kelangsungan hidup mereka.
“Cagaran simpanan KWSP sudah memadai walaupun status kewangan tidak mengizinkan atau muflis sekalipun kerana sekurang-kurangnya golongan ini akan memperoleh dana baru dan mereka akan berbelanja untuk keperluan hidup,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, dengan berlakunya corak perbelanjaan sebegitu, maka ia akan menyumbang kenaikan dalam permintaan dan kesannya ekonomi menjadi lebih positif.
Selain itu katanya, kemungkinan juga dana terbabit digunakan oleh pencarum untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau digunakan sebagai sumber modal bagi mengembangkan perniagaan yang dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Kita harus sedar bahawa kos sara hidup di Malaysia mengalami kenaikan tahun demi tahun apatah lagi jika kita sedang menuju menjadi negara maju.
“Secara tidak langsung dengan pembiayaan yang diperoleh itu mengelakkan risiko peningkatan bilangan orang yang terdedah kepada muflis.
“Jika ini berlaku maka risiko ketidakupayaan pembayaran balik kepada pihak bank tidak akan berlaku,” katanya.
Sebelum ini Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mula membuka permohonan BSN MyRinggit Insan-i meletakkan syarat utama tidak muflis dan mempunyai kedudukan kewangan memuaskan bagi pencarum yang ingin memohon pembiayaan peribadi di bawah FSA2 KWSP.
BSN MyRinggit Insan-i ditawarkan dalam bentuk pembiayaan patuh syariah kepada pencarum KWSP berumur 40 hingga 50 tahun.
Selain itu, semua permohonan adalah tertakluk kepada penilaian kemampuan pembayaran yang ditetapkan untuk memastikan pemohon berkeupayaan membayar ansuran bulanan pembiayaan.
Sumber: Harian Metro