Terkini
Kerajaan tidak cadang wajibkan pencarum Islam mencarum dalam simpanan syariah KWSP – PM

- Kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam untuk mencarum dalam simpanan syariah secara automatik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Namun, beliau berkata kerajaan menggalakkan mereka untuk berbuat demikian menerusi beberapa siri galakan dan penerangan berhubung instrumen kewangan syariah, yang diharap mampu meningkatkan jumlah pencarum Islam dalam simpanan berkenaan.
KUALA LUMPUR — Kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam untuk mencarum dalam simpanan syariah secara automatik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, beliau berkata kerajaan menggalakkan mereka untuk berbuat demikian menerusi beberapa siri galakan dan penerangan berhubung instrumen kewangan syariah, yang diharap mampu meningkatkan jumlah pencarum Islam dalam simpanan berkenaan.
Perdana Menteri berkata pencapaian KWSP yang mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi sebanyak 6.30 peratus untuk simpanan konvensional dan syariah bagi 2024, akan memberi galakan kepada umat Islam untuk berpindah kepada simpanan syariah.
“Bagi saya kesan ini penting, kerana rekod ini dengan sendirinya akan beri galakan kepada umat Islam untuk berpindah kepada simpanan syariah.
“Jadi sebab itu kita tidak bercadang untuk mewajibkan, tetapi dengan bukti ini dan dengan beberapa siri galakan dan penerangan, kita harap jumlah ini akan dapat ditambah. Jadi tidak ada dasar untuk mewajibkan tetapi menggalakkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan- Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.– BERNAMA
