Terkini
Anak angkat diutamakan status kewarganegaraan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengutamakan anak angkat dan individu lahir sebelum merdeka untuk mendapat status warganegara.
- Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengutamakan anak angkat dan individu lahir sebelum merdeka untuk mendapat status warganegara.
- Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kategori anak angkat paling banyak diterima daripada keseluruhan 133,436 permohonan, yang masih diproses setakat ini.
- Bagi kategori yang lahir sebelum merdeka juga perlu diberikan keutamaan kerana rata-rata mereka yang terbabit sudah mencecah usia 70 dan 80 tahun dengan 3,000 permohonan.
- “Bayangkan kesan kepada mereka selama ini dan apabila kita mengeluarkan surat kelulusan warganegara ini bermaksud akses kepada pendidikan, kesihatan dan apabila mereka menamatkan pekerjaan nanti, kehidupan akan menjadi lebih kepastian,” katanya selepas merasmikan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani semalam.
SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengutamakan anak angkat dan individu lahir sebelum merdeka untuk mendapat status warganegara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kategori anak angkat paling banyak diterima daripada keseluruhan 133,436 permohonan, yang masih diproses setakat ini.
Beliau tidak menyatakan jumlah permohonan kategori berkenaan.
Katanya, bagi kategori yang lahir sebelum merdeka juga perlu diberikan keutamaan kerana rata-rata mereka yang terbabit sudah mencecah usia 70 dan 80 tahun dengan 3,000 permohonan.
“Kita (KDN) bertekad untuk memberikan keutamaan kepada kategori anak angkat yang paling banyak diterima dan ada kalangan mereka ini membuat permohonan sejak lebih 12 tahun lalu.
“Bayangkan kesan kepada mereka selama ini dan apabila kita mengeluarkan surat kelulusan warganegara ini bermaksud akses kepada pendidikan, kesihatan dan apabila mereka menamatkan pekerjaan nanti, kehidupan akan menjadi lebih kepastian,” katanya selepas merasmikan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani semalam.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusof.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dalam mempertimbang proses memberi warganegara, pegawai KDN mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Permohonan itu akan ditapis oleh jawatankuasa panel kewarganegaraan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar,” katanya.
Saifuddin berkata, KDN menyasarkan untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan sehingga akhir tahun ini.
“Setakat tiga bulan ini, saya sudah meluluskan 6,079 permohonan kewarganegaraan,” katanya.
Sumber: Berita Harian