Terkini
Mudaratkan moral, tujuh buku diharamkan termasuk novel Darlingku Mr. Cold Mafia

- Pengharaman itu dikuatkuasakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15, 16 dan 17 April lalu melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
- Bahan bacaan lain disenaraikan sebagai dilarang ialah Love, Theoretically, Tuan Ziyad: Forbidden Love, Mischievous Killer, Suhuf Abraham, Kougar 2, dan The American Roommate Experiment.
KUALA LUMPUR — Kerajaan mewartakan larangan terhadap tujuh buku dikenal pasti mengandungi kandungan yang mampu memudaratkan moral serta mengganggu ketenteraman awam, termasuk novel Darlingku Mr. Cold Mafia.
Pengharaman itu dikuatkuasakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15, 16 dan 17 April lalu melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
KDN berkata bahan bacaan lain disenaraikan sebagai dilarang ialah Love, Theoretically, Tuan Ziyad: Forbidden Love, Mischievous Killer, Suhuf Abraham, Kougar 2, dan The American Roommate Experiment.
“Tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
“Dalam masa sama, masyarakat turut memperoleh pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
“Sebagaimana peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan yang disenaraikan dilarang secara mutlak di Malaysia,” katanya dipetik media tempatan semalam.
Lima daripada karya dikenakan sekatan itu dipercayai boleh memberi kesan negatif terhadap moral masyarakat, manakala Suhuf Abraham pula didapati berpotensi mencetuskan gangguan terhadap ketenteraman awam.
Pada Disember 2022, The Merdeka Times melaporkan seorang pengguna Facebook yang juga penulis buku iaitu Husna Adnan, meluahkan kebimbangan terhadap sebuah novel genre cinta terbitan Kaki Novel Sdn. Bhd yang berjudul Darlingku Mr. Cold Mafia nukilan penulis baru, Shadhia yang seolah ingin menaikkan unsur ‘grooming’ di dalam karyanya.
Sementara itu, dilaporkan mereka yang didapati memiliki penerbitan larangan tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 mengikut subseksyen 8(1).
Manakala, bagi pelanggaran lebih serius seperti pengedaran atau penjualan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan bawah subseksyen 8(2).
KDN menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan terhadap bahan terbitan, khususnya yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara. — The Merdeka Times
