Terkini
Kerajaan perlu terima dulu banduan bekerja
Kerajaan perlu menjadi contoh dengan terlebih dahulu memulakan inisiatif menggaji banduan dalam sektor awam sebelum meminta sektor swasta berbuat demikian.
- Kerajaan perlu menjadi contoh terlebih dahulu memulakan inisiatif menggaji banduan dalam sektor awam sebelum meminta sektor swasta berbuat demikian.
- Tindakan itu mampu memberi gambaran positif dan memberi dorongan, terutama kepada peserta industri dan sektor swasta masih takut mengambil golongan berkenaan bekerja di syarikat mereka.
- Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abd Ghani, berkata kerajaan perlu menjadi teladan untuk meyakinkan sektor swasta supaya turut menggaji banduan, sekali gus menangani masalah kebergantungan terhadap pekerja asing seperti dihadapi kebanyakan sektor ketika ini.
- “Ada segelintir majikan sektor swasta sudah memulakan inisiatif ini, tetapi tak dinafikan sebahagian lagi masih gusar dan terpalit dengan stigma berkaitan banduan.
- “Namun, gambaran dan tanggapan berbeza berkaitan golongan ini akan terhasil, jika kerajaan sendiri menyerap golongan ini ke dalam sektor awam,” katanya kepada BH.
Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menjadi contoh dengan terlebih dahulu memulakan inisiatif menggaji banduan dalam sektor awam sebelum meminta sektor swasta berbuat demikian.
Tindakan itu diyakini mampu memberi gambaran positif dan memberi dorongan, terutama kepada peserta industri dan sektor swasta yang masih takut untuk mengambil golongan berkenaan bekerja di syarikat mereka.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abd Ghani, berkata kerajaan perlu menjadi teladan untuk meyakinkan sektor swasta supaya turut menggaji banduan, sekali gus menangani masalah kebergantungan terhadap pekerja asing seperti dihadapi kebanyakan sektor ketika ini.
Berikutan itu, beliau mengesyorkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memansuhkan peraturan khusus pelantikan kakitangan awam yang menetapkan mana-mana calon tidak boleh memiliki rekod jenayah.
Ketika ini, syarat pelantikan perkhidmatan awam menetapkan semua calon tidak boleh mempunyai apa-apa rekod jenayah, selaras Fasal 14.2.i Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Kaedah Pelantikan Pegawai Dalam Perkhidmatan Awam dan Urusan-Urusan Lain Berkaitan Pelantikan.
“Ada segelintir majikan sektor swasta sudah memulakan inisiatif ini, tetapi tak dinafikan sebahagian lagi masih gusar dan terpalit dengan stigma berkaitan banduan.
“Namun, gambaran dan tanggapan berbeza berkaitan golongan ini akan terhasil, jika kerajaan sendiri menyerap golongan ini ke dalam sektor awam.
“Kerajaan perlu buat dahulu, sebelum meminta pihak lain untuk mengambil tindakan itu,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas kegusaran segelintir majikan yang masih takut untuk menggajikan banduan, seperti dinyatakan Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), kelmarin.
Jaminan kepada sektor swasta
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, dilapor berkata, senario itu tidak menghairankan kerana kerajaan sendiri takut mengambil banduan bekerja di mana-mana kementerian atau agensi berkaitan.
Beliau dilaporkan berkata, syarikat swasta perlu ada contoh untuk diikuti khususnya daripada kerajaan, sekali gus menjadi jaminan kepada sektor swasta untuk berbuat demikian.
BH Khamis lalu melaporkan, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memaklumkan lebih 70,000 banduan di negara ini dikenal pasti mempunyai nilai produktif untuk menjadi sumber tenaga kerja tempatan, sekali gus mampu membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Sivakumar berkata, angka itu jika dimanfaatkan oleh majikan di negara ini dapat membantu menangani masalah kekurangan pekerja yang dihadapi ketika ini.
Kementerian Sumber Manusia juga menggalakkan lebih ramai majikan membuka peluang menggaji banduan iaitu orang di bawah parol (ODP) atau orang diselia (ODS) dan bekas banduan, berbanding menggaji pekerja asing.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, langkah menggaji banduan itu bukan sahaja dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja ketika ini, malah memberi peluang kedua kepada banduan untuk memulakan kehidupan baharu.
Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk masyarakat terus menyisihkan banduan sedangkan mereka sudah melepasi tempoh hukuman yang disabitkan ke atas mereka.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, turut menyokong pandangan MTUC dan berpandangan lantikan banduan ke sektor awam itu boleh dijadikan alternatif kepada pengambilan individu yang masih belum bekerjaya.
Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan sedia ada perlu dibawa ke Kabinet untuk pindaan, jika mahu menggaji banduan sebagai penjawat awam.
Sumber: Berita Harian