Terkini
Isu tuntutan waris kesultanan Sulu : “Ini salah Najib” – Dr. Mahathir
Kerajaan hari ini digesa agar segera menyelesaikan isu tuntutan waris kesultanan Sulu bagi mengelakkan ia terus mengancam kedaulatan negara.
- Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan permasalahan yang sedang berlaku itu berpunca daripada tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Tindakan Datuk Seri Najib menghentikan bayaran wang serahan kepada waris kesultanan itu selepas mendakwa mereka dalang pencerobohan Lahad Datu namun gagal membuktikannya menyebabkan tindakan undang-undang di mahkamah diambil oleh pihak berkenaan.
- Dr. Mahathir turut menafikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas jadi punca isu tersebut timbul.
SHAH ALAM – Kerajaan hari ini digesa agar segera menyelesaikan isu tuntutan waris kesultanan Sulu bagi mengelakkan ia terus mengancam kedaulatan negara.
Memetik kepada laporan Sinar Harian, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tuntutan waris kesultanan Sulu berpunca daripada keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mungkir janji untuk membayar RM5,300 setahun kepada pihak berkenaan sejak tahun 2013.
Menurutnya, Najib mengarahkan kerajaan menghentikan bayaran wang serahan kepada waris kesultanan itu kerana mendakwa mereka dalang pencerobohan Lahad Datu.
Malangnya, bukti kukuh mengenai dakwaan tersebut gagal dikemukakan yang menjadi titik permulaan waris kesultanan Sulu mengambil tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa terhadap kerajaan kerana mungkir janji menghentikan bayaran RM5,300 setahun.
Menurut Sinar Harian, apa yang didedahkan oleh Dr. Mahathir itu harus diteliti dan dijadikan iktibar kerana ia penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat kerajaan berhubung isu sensitif melibatkan perjanjian dan sebagainya tidak akan berulang lagi selepas ini.
Sebelum ini Dr. Mahathir turut menafikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjadi punca isu berkenaan timbul.
“Tommy menulis surat kepada waris Sultan Sulu untuk menyatakan rasa kesal dan menawarkan bayaran sebanyak RM48,000 bagi menyelesaikan pembayaran yang dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada Rabu menjelaskan keputusan tidak membenarkan isu tuntutan waris kesultanan Sulu dibahaskan di Parlimen bagi mengelak segala strategi dan perancangan kerajaan dalam mendepani kes yang masih berjalan di mahkamah itu diketahui pihak lawan.
Penjelasan itu diberikan Azhar Azizan susulan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keputusan tidak meluluskan usul untuk membahaskan isu berkenaan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin turut menolak usul untuk membincang dan membahaskan mengenai ancaman keselamatan waris Kesultanan Sulu.
Usul yang dibawa Ketua Pembangkang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditolak susulan tidak memenuhi Peraturan 23 (2) DUN Sabah.
Sumber : Sinar Harian