Terkini
Negeri ramai miskin tegar digesa sertai IPR – Menteri Ekonomi
Kerajaan akan memanggil pimpinan dan wakil rakyat dari 20 buah daerah dalam negara bagi mendapatkan lebih banyak penyertaan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam kalangan miskin tegar dan B40.
- Kerajaan akan memanggil pimpinan dan wakil rakyat dari 20 buah daerah dalam negara bagi mendapatkan lebih banyak penyertaan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam kalangan miskin tegar dan B40.
- Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, 20 daerah berkenaan melibatkan lima negeri paling ramai miskin tegar iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak sejak IPR dilancarkan bulan lalu.
- “Saya berharap perkara ini tidak dipolitikkan dan saya menjemput wakil rakyat dari negeri pembangkang untuk bersama melibatkan diri kerana kita memerlukan kerjasama semua pihak.
- “Kita akan membuka pintu seluasnya agar kita dapat melihat kesesuaian setiap program dan aktiviti penjanaan pendapatan yang mahu diusahakan oleh penerima dari kawasan terlibat,” katanya.
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memanggil pimpinan dan wakil rakyat dari 20 buah daerah dalam negara bagi mendapatkan lebih banyak penyertaan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam kalangan miskin tegar dan B40.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, 20 daerah berkenaan melibatkan lima negeri paling ramai miskin tegar iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak sejak IPR dilancarkan bulan lalu.
“Kementerian akan memanggil pimpinan daripada pegawai-pegawai kerajaan, wakil-wakil rakyat dan juga agensi terbabit dari daerah-daerah termiskin di Malaysia.
“Antaranya adalah mereka dari daerah Tongod, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Kudat, Telupid, Pusa, Nabawan, Kota Belud, Jeli, Kinabatangan, Kuala Krai, Gua Musang, Bachok, Pasir Mas, Tumpat, Besut, Marang, Hulu Terengganu, Machang dan Dungun,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.
Menurut Rafizi, beliau akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengaturkan perjumpaan tersebut dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
“Saya berharap perkara ini tidak dipolitikkan dan saya menjemput wakil rakyat dari negeri pembangkang untuk bersama melibatkan diri kerana kita memerlukan kerjasama semua pihak.
“Kita akan membuka pintu seluasnya agar kita dapat melihat kesesuaian setiap program dan aktiviti penjanaan pendapatan yang mahu diusahakan oleh penerima dari kawasan terlibat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai IPR, Rafizi berkata, seramai 22,319 pengguna sah telah mendaftarkan diri di laman web sejak IPR dilancarkan pada 26 Februari lalu.
Katanya, Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 34 peratus diikuti Johor sebanyak 11 peratus, Perak sembilan peratus, Kuala Lumpur 8.5 peratus, Negeri Sembilan 6.3 peratus dan Kedah 5.7 peratus.
Selain itu, Pulau Pinang juga merekodkan pendaftaran sebanyak 5.4 peratus, Pahang 3.3 peratus, Melaka 2.7 peratus, Putrajaya 0.4 peratus dan Labuan 0.07 peratus.
Manakala lima negeri paling ramai miskin tegar iaitu Perlis mencatat jumlah pendaftaran sebanyak 0.5 peratus, Terengganu, 1.5 peratus, Kelantan 1.7 peratus, Sarawak 2.4 peratus, dan Sabah 5.7 peratus.
“Dengan sokongan dan penglibatan berterusan dari masyarakat, kami yakin bahawa program ini akan terus berjaya dalam mengurangkan kemiskinan dan mempromosikan pertumbuhan ekonomi di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN
Sumber: Utusan