Connect with us

Terkini

Sukar halang mana-mana pihak cabar peruntukan undang-undang digubal negeri – Mohd Na’im

Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana pihak mencabar peruntukan digubal badan perundangan negeri yang dirasakan terkeluar daripada kuasa diperuntukkan kepadanya merupakan faktor utama kesukaran bagi kerajaan untuk menghalang mana-mana pihak daripada membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mencabar apa-apa peruntukan atau undang-undang yang digubal kerajaan negeri.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
  • Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana pihak mencabar peruntukan digubal badan perundangan negeri yang dirasakan terkeluar daripada kuasa diperuntukkan kepadanya merupakan faktor utama kesukaran bagi kerajaan untuk menghalang mana-mana pihak daripada membuat  permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mencabar apa-apa peruntukan atau undang-undang yang digubal kerajaan negeri.
  • Mengakui perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia juga sebagai menghormati konsep pengasingan kuasa serta jaminan terhadap kebebasan badan kehakiman.

KUALA LUMPUR – Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana pihak mencabar peruntukan digubal badan perundangan negeri yang dirasakan terkeluar daripada kuasa diperuntukkan kepadanya merupakan faktor utama kesukaran bagi kerajaan untuk menghalang mana-mana pihak daripada membuat  permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mencabar apa-apa peruntukan atau undang-undang yang digubal kerajaan negeri.

Mengakui perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia juga sebagai menghormati konsep pengasingan kuasa serta jaminan terhadap kebebasan badan kehakiman.

“Agak sukar untuk menghalang mana-mana pihak daripada mencabar apa-apa peruntukan kerana keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin (Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid)… walaupun kita tengok biasanya pihak yang mahu memfailkan ada locus standi (bagi) mencabar sesuatu peruntukan.

“Dalam kes Nik Elin, walaupun tidak terbabit secara langsung atau (ada) locus standi, Mahkamah Persekutuan memutuskan dia mempunyai locus standi untuk mengemukakan permohonan mencabar peruntukan di Kelantan,” katanya di Kamar Khas, hari ini.

Jelasnya, perihal memfailkan permohonan untuk mencabar sesuatu undang-undang yang digubal Parlimen atau badan perundangan negeri diperuntukkan dalam Perkara 128(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai enakmen jenayah syariah negeri yang terdedah kepada pembatalan tanpa mahkamah perlu merujuk kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selasa lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat memaklumkan peruntukan dalam akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah di negeri lain masih lagi sah, berperlembagaan dan boleh dikuatkuasakan selagi tidak dicabar serta diisytiharkan sebagai tidak sah kerana tidak berperlembagaan.

Status itu, katanya kekal selagi mana keperlembagaan peruntukan-peruntukan berkenaan tidak dicabar dan ia tidak diisytiharkan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan, sepertimana keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan yang membabitkan 16 daripada 18 peruntukan kesalahan jenayah syariah di Kelantan sebelum ini.

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu memutuskan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah, susulan kes yang difailkan Nik Elin.— The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending