Antarabangsa
Lelaki Hindu dijanji pekerjaan, perlindungan jika berjaya goda wanita Muslim
Seorang ahli politik India, Pramod Muthalik menggesa golongan muda Hindu untuk menggoda “10 gadis Muslim jika kita hilang seorang gadis Hindu” melalui apa yang dipanggil “jihad cinta”.
- Seorang ahli politik India menggesa golongan muda Hindu untuk menggoda “10 gadis Muslim jika kita hilang seorang gadis Hindu”.
- “Jika anda berbuat demikian, Sri Ram Sena akan memberikan pelbagai jenis perlindungan dan peluang pekerjaan,” – Ketua Parti Sri Ram Sena, Pramod Muthalik.
- Muthalik pernah mengeluarkan kenyataan sama sebelum ini dan akan terus melakukannya untuk “melindungi wanita Hindu”.
Seorang ahli politik India, Pramod Muthalik menggesa golongan muda Hindu untuk menggoda “10 gadis Muslim jika kita hilang seorang gadis Hindu” melalui apa yang dipanggil “jihad cinta”.
Mereka yang berjaya membuat demikian dijanjikan dengan perlindungan dan peluang pekerjaan.
Menurut The Indian Express, Muthalik, ketua parti nasionalis Hindu Sri Ram Sena, semasa berucap dalam acara awam di Karnataka pada 19 Februari, mendakwa beribu-ribu wanita Hindu “dieksploitasi atas nama jihad cinta”, iaitu satu kepercayaan bahawa orang Islam berusaha ‘mengumpan’ wanita Hindu melalui perkahwinan dan mengislamkan mereka.
“Kami sedar akan situasi ini dan menggesa belia di sini untuk ‘menangkap’ 10 orang wanita Muslim jika kita hilang seorang wanita Hindu. Jika anda berbuat demikian, maka Sri Ram Sena akan memberikan pelbagai jenis perlindungan dan peluang pekerjaan,” kata Muthalik dipetik The Indian Express.
“Wanita Hindu dieksploitasi dalam jihad cinta. Di seluruh negara, beribu-ribu wanita ditipu dengan nama cinta, kita patut beri amaran kepada mereka,” katanya.
Laporan itu turut menyatakan dalam satu perbualan bersama The Indian Express, Muthalik berkata beliau pernah mengeluarkan kenyataan sama sebelum ini dan akan terus melakukannya untuk “melindungi wanita Hindu”.
“Saya tidak mengatakan ini kerana pilihanraya makin hampir. Kenyataan saya demi kepentingan orang Hindu,” katanya.
Kenyataan Muthalik sebelum ini dikecam teruk kerana “jihad cinta” dianggap sebagai satu konspirasi teori yang tidak berasas.
Sumber: DAWN