Terkini
CAP desak larangan penuh jual rokok elektronik, vape kepada generasi GEG
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak larangan penuh ke atas penjualan rokok elektronik dan vape kepada generasi penamat (GEG) diteruskan melalui peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak larangan penuh ke atas penjualan rokok elektronik dan vape kepada generasi penamat (GEG) melalui RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
- Pegawai Pendidikannya, N V Subbarow berkata usaha itu penting bagi menyelamatkan 2.06 juta nyawa khususnya kanak-kanak dan remaja yang kini sasaran penjualan rokok elektronik dan vape.
- “CAP turut menegaskan kerajaan sepatutnya sudah membuat larangan penuh berkaitan penjualan vape sejak kemasukan produk ini di pasaran Malaysia pada 2016 lagi.
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak larangan penuh ke atas penjualan rokok elektronik dan vape kepada generasi penamat (GEG) diteruskan melalui peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Pegawai Pendidikannya, N V Subbarow, berkata usaha itu penting untuk diteruskan bagi menyelamatkan 2.06 juta nyawa khususnya kanak-kanak dan remaja yang kini menjadi sasaran penjualan rokok elektronik dan vape.
Beliau turut membantah cadangan supaya peruntukan GEG digugurkan sebagai alasan membolehkan RUU Kawalan Tembakau diluluskan di Parlimen.
“CAP turut menegaskan kerajaan sepatutnya sudah membuat larangan penuh berkaitan penjualan vape sejak kemasukan produk ini di pasaran Malaysia pada 2016 lagi.
“Kami sudah mendesak penjualan rokok elektronik diharamkan terus sebagaimana negara jiran seperti Singapura , Brunei , Thailand dan Cambodia supaya ia tidak terus merosakkan anak bangsa kita.
“CAP tidak nampak adanya asas yang kukuh mengapa peruntukan GEG mesti digugurkan, melainkan ada campur tangan industri dalam hal ini,” katanya melalui kenyataan, di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Eksekutif Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen, Azrul Mohd Khalib, yang mencadangkan kerajaan memansuhkan cadangan larangan tembakau untuk GEG bagi memastikan RUU itu diluluskan.
Azrul dilaporkan berkata, terdapat keperluan mendesak bagi RUU itu diluluskan bagi mengawal pasaran dan penjualan rokok elektronik dan vape dengan menekankan kewujudan jurang yang besar dalam peraturan sedia ada mengenai produk berkenaan.
Pada masa sama, Subbarow berkata, pihaknya membantah cadangan itu dengan menyifatkan ia tidak munasabah berikutan negara kini berdepan dengan isu penjualan dan pemasaran rokok elektronik dan vape yang menyerupai permainan kanak-kanak.
Beliau berkata, kaedah pemasaran yang dibuat itu adalah jelas mensasarkan kanak-kanak dan golongan remaja bagi menggunakan rokok elektronik dan vape.
“Malah mereka yang tidak merokok juga akan terpedaya untuk menggunakannya… tanpa peruntukan melarang penjualan sebarang bentuk produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape, perkara ini tidak dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.
Subbarow berkata, tidak timbul isu usaha itu ‘tidak disenangi’ ahli Parlimen kerana pelaksanaan peruntukan GEG dipersetujui setiap ahli Parlimen yang mewakili parti politik masing-masing.
Katanya, ia seperti mana termaktub melalui Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Kawalan Produk Tembakau 2022 yang disiarkan pada 5 Oktober lalu.
“Penyata itu secara jelas mengakui peruntukan GEG adalah sangat kritikal berikutan Malaysia mengalami masalah beban merokok berganda iaitu masalah merokok rokok tembakau dan juga masalah merokok alaf baharu iaitu rokok elektronik dan vape.
“Ia sudah dibincangkan sebelum ini dengan panjang lebar dan pihak CAP menegaskan peruntukan GEG ini mesti diteruskan,” katanya.
Melalui kajian dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini, usaha GEG melalui RUU itu boleh menyelamatkan lebih 2.06 juta nyawa.
Sekiranya GEG tidak dilaksanakan, kos untuk rawatan akan terus meningkat kepada RM 8.77 billion bagi merawat komplikasi penyakit akibat merokok tembakau dan RM369 juta bagi merawat kecederaan paru-paru atau ‘electronic vape associated lung injury’ (EVALI) menjelang 2030.
Sumber: Berita harian

You must be logged in to post a comment Login