Connect with us

Terkini

Solat jumaat di surau pusat beli-belah jejas usaha imarah masjid – MAIS

Published

on

Foto: Pengerusi MAIS, Salehuddin Saidin.
  • Pengerusi MAIS, Salehuddin Saidin berkata, Sultan Selangor buat masa ini tidak memberi perkenan kepada mana-mana surau di pusat beli-belah di negeri itu untuk diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat.
  • “Sekiranya surau di pusat beli-belah dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, ianya akan menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.
  • “Solat Jumaat ibadah penting dan mulia bagi umat Islam dan lebih sesuai didirikan di dalam masjid dan surau yang khusus dibina untuk umat Islam mengerjakan ibadah berbanding dengan pelaksanaannya di surau yang berada di pusat beli-belah yang lazim dikaitkan sebagai tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi bagi orang ramai tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor memaklumkan bahawa Sultan Selangor buat masa ini tidak memberi perkenan kepada mana-mana surau di pusat beli-belah di negeri itu untuk diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat.

Pengerusi MAIS, Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri, selain menegaskan bahawa urusan berkaitan masjid dan surau terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Selaras dengan kuasa prerogatif DYMM Sultan Selangor, MAIS telah dimaklumkan bahawa buat masa ini Baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau di pusat beli-belah di Negeri Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Salehuddin, antara faktor utama ketetapan itu ialah bagi memastikan usaha memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah umat Islam tidak terjejas.

“Sekiranya surau di pusat beli-belah dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, ianya akan menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.

“Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid-masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di surau di pusat beli-belah,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau di Selangor yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat, dan jumlah itu disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri berkenaan.

“Sebagai tambahan, terdapat juga masjid dan surau yang berada berhampiran dengan pusat beli-belah bagi memudahkan orang awam untuk mendirikan solat Jumaat di masjid dan surau solat Jumaat tersebut,” katanya.

Salehuddin berkata, solat Jumaat juga lebih sesuai didirikan di masjid dan surau yang dibina khusus sebagai tempat ibadah berbanding di surau pusat beli-belah.

“Solat Jumaat merupakan ibadah penting dan mulia bagi umat Islam dan ianya lebih sesuai didirikan di dalam masjid dan surau yang khusus dibina untuk umat Islam mengerjakan ibadah berbanding dengan pelaksanaannya di surau yang berada di pusat beli-belah yang lazim dikaitkan sebagai tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi bagi orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.

“Bagi umat Islam yang bekerja pula, masa rehat yang ditetapkan adalah mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang berhampiran bagi mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, MAIS turut mengambil kira aspek pelantikan imam, bilal dan petugas lain serta pengurusan dan tadbir urus surau atau musolla sekiranya kebenaran solat Jumaat diberikan, selain memastikan pemantauan dan keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh MAIS dapat dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, walaupun terdapat sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor yang kini diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat, kebenaran itu hanya bersifat sementara kerana tiada masjid berhampiran premis berkenaan.

“Namun demikian, kebenaran sementara ini akan ditarik balik jika di masa hadapan terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli-belah tersebut yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, ketetapan Sultan Selangor itu selaras dengan ajaran dan syiar Islam untuk memperkukuhkan fungsi masjid sebagai pusat ibadah utama, penyebaran ilmu dan dakwah, sambil menyeru umat Islam di Selangor supaya terus mengimarahkan masjid dan surau. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author