Terkini
“Barangkali tiba masanya rakyat Johor beri pengajaran sama seperti rakyat Sabah kepada DAP” – Muralithara
- Bekas Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Muralitharan Ramachandran berkata, kemunculan semula veteran DAP, Lim Kit Siang di Johor menjelang pilihan raya negeri mengingatkan kembali kepada pelbagai isu yang pernah dikaitkan dengan pemimpin berkenaan.
- Beliau mendakwa kemunculan semula pemimpin DAP itu di Johor hanya mengulangi watak dan skrip yang sama, tetapi dengan “bajet yang lebih besar”.
- “Barangkali tiba masanya rakyat Johor memberikan pengajaran yang sama seperti rakyat Sabah berikan kepada DAP tahun lepas. Kalah bersih, demi kebaikan semua.” katanya.
JOHOR BAHRU – Bekas Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Muralitharan Ramachandran berpandangan bahawa sudah tiba masanya rakyat Johor memberikan “pengajaran” kepada DAP sebagaimana didakwanya dilakukan oleh rakyat Sabah pada pilihan raya tahun lalu.
Menurut beliau, kemunculan semula veteran DAP, Lim Kit Siang di Johor menjelang pilihan raya negeri mengingatkan kembali kepada pelbagai isu yang pernah dikaitkan dengan pemimpin berkenaan.
“Barangkali tiba masanya rakyat Johor memberikan pengajaran yang sama seperti rakyat Sabah berikan kepada DAP tahun lepas.
“Pembersihan menyeluruh demi kebaikan semua.” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Muralitharan turut menyindir Kit Siang yang disifatkannya sebagai telah “bersara” namun kembali aktif dalam kempen pilihan raya Johor.
Beliau juga membangkitkan kenyataan Kit Siang yang dilaporkan bertanya sama ada rakyat kini “lebih Malaysia”, sambil mengaitkannya dengan dakwaan bahawa pemimpin DAP itu sebelum ini pernah memberi amaran Malaysia akan muflis di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Selain itu, Muralitharan turut menyentuh isu melibatkan kes Kevin Morais dengan mendakwa orang ramai masih menunggu penyerahan pemacu pena (pen drive) yang didakwa mengandungi bukti dari Amerika Syarikat seperti yang pernah dibangkitkan sebelum ini.
Beliau mendakwa kemunculan semula pemimpin DAP itu di Johor hanya mengulangi watak dan skrip yang sama, tetapi dengan “bajet yang lebih besar”. – The Merdeka Times.