Terkini
Mengapa bekas hakim terajui MMC? Ahmad Murad perjelas keperluan kawal selia profesion wartawan
- Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), UIAM, Profesor Ahmad Murad Merican berkata, MMC perlu dilihat sebagai sebuah badan yang mengawal selia profesion kewartawanan dan bukannya industri media.
- Menurut beliau, fokus utama MMC seharusnya tertumpu kepada pembinaan kredibiliti profesional melalui penguatkuasaan standard kewartawanan, selaras dengan matlamat penubuhannya sebagai mekanisme kawal selia kendiri bagi profesion tersebut.
- “Ketegangan dalam profesion kewartawanan ialah menjadi objektif dan neutral. Satu lagi dimensi kritikal ialah naratif antara media kewartawanan dan negara. Ini mewakili petembungan antara standard ideal, realiti institusi dan kepentingan nasional,” katanya.
KUALA LUMPUR – Perbincangan mengenai pelantikan seorang bekas anggota badan kehakiman sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMC) perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu usaha memperkukuhkan profesion kewartawanan melalui kerangka kawal selia yang bebas, berwibawa dan berteraskan prinsip perundangan.
Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Ahmad Murad Merican berkata, MMC perlu dilihat sebagai sebuah badan yang mengawal selia profesion kewartawanan dan bukannya industri media.
Menurut beliau, fokus utama MMC seharusnya tertumpu kepada pembinaan kredibiliti profesional melalui penguatkuasaan standard kewartawanan, selaras dengan matlamat penubuhannya sebagai mekanisme kawal selia kendiri bagi profesion tersebut.
“Advokasi Majlis Media Malaysia mesti tertumpu kepada kredibiliti profesional dalam penguatkuasaan standard,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ahmad Murad berkata, kewartawanan sentiasa berdepan ketegangan antara menjadi objektif dan neutral, selain hubungan yang kompleks antara media dan negara, menjadikan kerangka perundangan penting dalam membentuk struktur kawal selia kendiri yang berkesan.
“Ketegangan dalam profesion kewartawanan ialah menjadi objektif dan neutral. Satu lagi dimensi kritikal ialah naratif antara media kewartawanan dan negara. Ini mewakili petembungan antara standard ideal, realiti institusi dan kepentingan nasional,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa majlis media berfungsi mentakrifkan kewartawanan dari sudut profesional dan sosiologi, justeru MMC perlu memainkan peranan dalam memperkukuh identiti serta standard profesion itu sendiri.
Menurutnya, MMC juga perlu mewujudkan perbezaan yang jelas antara kewartawanan profesional dan pelaporan oleh orang awam menerusi platform media sosial, selain membezakan laporan berita daripada ulasan editorial, pandangan dan esei kewartawanan.
“Demi kepentingan negara dan masyarakat, MMC yang mewakili profesion ini mesti menginstitusikan objektiviti melalui kod etika dan tatakelakuan,” katanya.
Beliau berkata komitmen terhadap kenetralan, perlindungan daripada campur tangan negara dan keupayaan melaksanakan kawal selia kendiri merupakan antara prinsip asas yang perlu dipertahankan oleh MMC.
Mengulas persoalan mengapa seorang bekas hakim dilantik menerajui badan tersebut, Ahmad Murad berkata tradisi melantik hakim bersara sebagai pengerusi atau presiden majlis media telah lama diamalkan kerana pengalaman mereka membolehkan keseimbangan dicapai antara kepentingan profesional, institusi dan nasional.
“Penghasilan kewartawanan dan media tidak sepenuhnya bersifat neutral. Latar belakang dan pengalaman sedemikian seharusnya mampu mengemudi landskap yang pelbagai demi kepentingan profesional dan nasional,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sejarah membuktikan wartawan merupakan peserta aktif dalam perjuangan menentang penjajahan, hegemoni dan dominasi.
“Profesion ini mesti memperjuangkan kedaulatan intelektual dalam menghadapi cabaran teknologi dan ideologi,” katanya.
Menurut beliau, kawal selia kendiri yang berteraskan kerangka jurisprudens adalah suatu keperluan, selain memastikan media bebas bukan sahaja benar-benar bebas, malah dilihat bebas oleh masyarakat.
Beliau turut berpandangan bahawa pindaan pada masa hadapan terhadap Akta Majlis Media Malaysia perlu mempertimbangkan supaya kod etika dan tatakelakuan profesion dimasukkan ke dalam peruntukan undang-undang.
Pada masa sama, Ahmad Murad menegaskan bahawa wartawan dan editor perlu terus berpegang kepada prinsip bahawa kewartawanan ialah sebuah profesion yang mempunyai kriteria dan etos tersendiri.
“MMC mesti dilihat mengawal selia sebuah profesion, bukannya sebuah industri,” katanya. – The Merdeka Times