Connect with us

Terkini

Zambry bidas dakwaan Dong Zong, Kerajaan tidak akan korban dasar nasional demi UEC

Published

on

Foto: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri  Dr . Zambry Abd Kadir.
  • Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri  Dr . Zambry Abd Kadir, kenyataan Dong Zong bertarikh 15 Mei 2026 yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar UEC adalah tersasar dan tidak bertanggungjawab.
  • “Dong Zong perlu memahami bahawa universiti awam ialah institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara. Oleh itu, kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara.
  • “Kerajaan kekal komited untuk memastikan pendidikan tinggi negara terus bersifat inklusif, adil dan berkualiti. Namun, inklusif tidak bermaksud kerajaan perlu mengorbankan dasar asas negara. Keterbukaan juga tidak bermaksud negara perlu mengabaikan prinsip nasional yang menjadi tunjang pembinaan Malaysia sejak merdeka.” tegas beliau.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi hanya untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu, termasuk berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau berkata, Dong Zong perlu memahami bahawa universiti awam merupakan institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara, sekali gus memberi hak kepada kerajaan untuk menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara.

“Kerajaan kekal komited untuk memastikan pendidikan tinggi negara terus bersifat inklusif, adil dan berkualiti. Namun, inklusif tidak bermaksud kerajaan perlu mengorbankan dasar asas negara.

“Keterbukaan juga tidak bermaksud negara perlu mengabaikan prinsip nasional yang menjadi tunjang pembinaan Malaysia sejak merdeka,” katanya menerusi kenyataan media bertajuk Dasar Pendidikan Kebangsaan Tidak Boleh Dikompromi.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons terhadap dakwaan Dong Zong bertarikh 15 Mei lalu yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar UEC.

Menurut Zambry, dakwaan tersebut adalah tersasar dan tidak bertanggungjawab kerana kerajaan ketika ini mengambil pendekatan seimbang, inklusif serta bertanggungjawab dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi tanpa mengorbankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan negara bukan sekadar melibatkan aspek akademik semata-mata, sebaliknya turut memainkan peranan penting dalam pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia.

“Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu.

 “Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini,” katanya.

Mengulas isu kemasukan pemegang UEC ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Zambry menjelaskan langkah kerajaan membenarkan calon UEC memohon ke IPTA bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina dengan syarat memperoleh kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah di peringkat SPM bukanlah satu bentuk kompromi terhadap dasar nasional.

Sebaliknya, beliau menyifatkan langkah itu sebagai pendekatan inklusif dan bertanggungjawab yang masih mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta Sejarah sebagai asas kenegaraan.

Tambah beliau, prinsip tersebut mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Zambry berkata isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana negara membina titik temu nasional dalam masyarakat majmuk dan bukannya melihat pendidikan semata-mata daripada sudut tuntutan kelompok tertentu atau identiti sempit.

“Masa depan Malaysia memerlukan satu asas bersama yang mampu menghubungkan rakyat melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemahaman terhadap sejarah negara serta semangat kenegaraan yang sama,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author