Terkini
Wong Siew Ki akur titah Sultan Selangor, Mahu hayati Rukun Negara
- “Patik menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj. Sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utama patik dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat,” – Negeri ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki
- Beliau berkata, prinsip-prinsip tersebut akan terus dihormati dan dipatuhi dalam setiap tindakan demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia.
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menzahirkan junjungan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan teguran baginda berhubung kepentingan menghayati prinsip Rukun Negara serta menghormati institusi diraja.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Wong menyatakan bahawa prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utama dalam melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat.
“Patik menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
“Sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utama patik dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat,” katanya.
Dalam hantaran sama, Wong turut menyenaraikan lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Beliau berkata, prinsip-prinsip tersebut akan terus dihormati dan dipatuhi dalam setiap tindakan demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia.
Terdahulu, Sultan Selangor bertitah menyarankan Wong serta bekas Exco DAP Selangor, Ronnie Liu supaya datang seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Baginda bertitah demikian susulan polemik melibatkan kenyataan yang didakwa menyentuh isu berkaitan institusi diraja dan sensitiviti awam.
Menurut titah baginda, langkah tersebut penting supaya mereka menjadi rakyat yang memahami kepentingan menghormati kedaulatan institusi Raja serta menjaga adab, kesopanan dan kesusilaan.-The Merdeka Times