Terkini
Tiada kegiatan ajaran Qadiani di Ulu Yam – JAIS
- Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan, siasatan di lokasi pertama telah dibuat sejurus selepas pihaknya maklum mengenai penularan sebuah video di media sosial, namun mendapati tiada sebarang kesan kegiatan seumpamanya berlaku pada masa itu.
- “JAIS juga turut menyiasat lapan lagi lokasi di Ulu Yam yang dikaitkan dengan kegiatan seumpamanya, namun tiada tanda-tanda aktiviti berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
- Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi merujuk kepada hantaran di akaun Facebook ‘Keranda Ghulat’ berkaitan ajaran Qadiani yang didakwa kononnya tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.
KUALA LUMPUR – Tiada sebarang aktiviti ajaran Qadiani dikesan berlaku di lokasi yang ditularkan di media sosial serta lapan kawasan lain di Ulu Yam, Selangor.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan, siasatan di lokasi pertama telah dibuat sejurus selepas pihaknya maklum mengenai penularan sebuah video di media sosial namun mendapati tiada sebarang kesan kegiatan seumpamanya berlaku pada masa itu.
“JAIS juga turut menyiasat lapan lagi lokasi di Ulu Yam yang dikaitkan dengan kegiatan seumpamanya, namun tiada tanda-tanda aktiviti berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut merujuk hantaran di akaun Facebook ‘Keranda Ghulat’ berkaitan ajaran Qadiani yang didakwa kononnya tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.
Mengulas lanjut mengenai penularan berkenaan, Mohd Shahzihan menegaskan bahawa video-video yang dimuat naik oleh akaun Facebook tersebut sebenarnya merupakan rakaman lama pada tahun 2019 yang telah dikumpul dan ditularkan semula.
Beliau memberi jaminan bahawa JAIS sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas ajaran itu di negeri Selangor, memandangkan ajaran Qadiani telah pun difatwakan terkeluar daripada agama Islam pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.
“JAIS sentiasa memantau termasuklah mengenal pasti individu yang bukan dilahirkan sebagai Qadiani, status, cara pergerakan kumpulan, hubungan dan komunikasi yang berjalan serta aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan ini,” jelas beliau.
Sehubungan itu, JAIS menasihati umat Islam agar tidak menyertai atau mengikuti apa-apa program atau aktiviti yang mempunyai kaitan dengan ajaran Ahmadiah atau Qadiani atau ajaran yang mempunyai ciri-ciri yang sama kerana ia merupakan suatu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
Beliau mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berhati-hati berikutan penampilan serta cara beramal kumpulan berkenaan didapati sangat menyamai dengan amalan majoriti umat Islam di negara ini.
“Melainkan ada beberapa perbezaan yang sukar dilihat dengan mata kasar yang dikenal pasti bertentangan dengan ajaran Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tegasnya. – The Merdeka Times