Terkini
Tarik subsidi T15, T20: Potensi jimat hingga RM8b namun manfaat tak sebesar jangkaan
- Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, perkara tersebut disimpulkan setelah mengambil kira faktor inflasi tidak langsung, kos pentadbiran sistem yang kompleks serta keperluan kerajaan untuk menyediakan bantuan tambahan bagi meredakan tekanan kos sara hidup.
- Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau berkata, selain itu, faktor ketidakpuasan hati rakyat dan kesan psikologi pasaran turut menjadi pemboleh ubah kritikal yang boleh menjejaskan keberkesanan langkah tersebut.
- Malah, terdapat hujah kuat bahawa kesan ‘sentimen ekonomi negatif’ berisiko menjadi lebih besar daripada nilai penjimatan fiskal itu sendiri sekiranya pelaksanaan tidak dilakukan dengan penuh berhati-hati.
KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan berpotensi menjimatkan antara RM5 bilion hingga RM8 bilion setahun sekiranya subsidi ditarik daripada golongan T15 dan T20, namun dari sudut makroekonomi, manfaat bersih yang bakal diperoleh mungkin tidak sebesar yang dijangkakan.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, perkara tersebut disimpulkan setelah mengambil kira faktor inflasi tidak langsung, kos pentadbiran sistem yang kompleks serta keperluan kerajaan untuk menyediakan bantuan tambahan bagi meredakan tekanan kos sara hidup.
Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau berkata, selain itu, faktor ketidakpuasan hati rakyat dan kesan psikologi pasaran turut menjadi pemboleh ubah kritikal yang boleh menjejaskan keberkesanan langkah tersebut.
Malah, terdapat hujah kuat bahawa kesan ‘sentimen ekonomi negatif’ berisiko menjadi lebih besar daripada nilai penjimatan fiskal itu sendiri sekiranya pelaksanaan tidak dilakukan dengan penuh berhati-hati.
“Sebarang reformasi subsidi yang berjaya biasanya memerlukan sandaran data yang sangat tepat, pelaksanaan secara bertahap serta komunikasi awam yang kuat.
“Pada masa yang sama, penyediaan alternatif pengangkutan serta mekanisme pampasan tunai yang jelas dan pantas turut menjadi faktor,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi.
Menurutnya, cadangan berkenaan telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lalu, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan UKM-Graduate School of Business Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roslan Jaafar berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 perlu beralih daripada pergantungan terhadap klasifikasi pendapatan isi rumah (B40, M40, T20) kepada satu formula yang lebih adil, realistik, dan menyeluruh.
Hal ini demikian kerana angka pendapatan bulanan semata-mata tidak mencerminkan keadaan ekonomi sebenar sesebuah keluarga, memandangkan kos sara hidup amat berbeza mengikut lokasi geografi.
“Sebagai contoh, isi rumah berpendapatan RM6,000 di bandar raya utama seperti Kuala Lumpur mungkin bergelut dengan kos sewa dan pengangkutan yang tinggi, sedangkan jumlah yang sama di luar bandar menawarkan kestabilan kewangan yang lebih besar.“Oleh itu, sistem pengagihan bantuan masa hadapan seharusnya mempertimbangkan penilaian pelbagai dimensi termasuk saiz keluarga, tanggungan, dan pendapatan boleh guna bagi memastikan keadilan sosial yang lebih bermakna buat rakyat,” jelas pakar tersebut seperti dikongsikan di laman Facebook. – The Merdeka Times