Terkini
Tarik subsidi RON95: Mulakan dengan golongan T5
- Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir menyarankan agar kriteria golongan T5 itu diperincikan kepada mereka yang mempunyai pendapatan bersih melebihi RM30,000 sebulan selepas cukai.
- Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau berkata, kumpulan tersebut mempunyai kapasiti kewangan yang sangat kukuh sekali gus tidak lagi memerlukan bantuan bahan api jika dibandingkan dengan kelompok rakyat yang lain.
- “Pendekatan ini lebih adil dan mengurangkan kejutan kepada rakyat biasa. Namun bagi kumpulan B40, M50 dan T15, kerajaan boleh melaksanakan subsidi secara berlapis mengikut penggunaan bulanan supaya lebih seimbang dan mendidik rakyat menggunakan bahan api secara berhemah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 secara lebih strategik dengan menyasarkan penarikan subsidi sepenuhnya kepada golongan T5 terlebih dahulu.
Perunding kewangan, Shamsuddin Kadir menyarankan agar kriteria golongan T5 itu diperincikan kepada mereka yang mempunyai pendapatan bersih melebihi RM30,000 sebulan selepas cukai.
Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau berkata, kumpulan tersebut mempunyai kapasiti kewangan yang sangat kukuh sekali gus tidak lagi memerlukan bantuan bahan api jika dibandingkan dengan kelompok rakyat yang lain.
“Pendekatan ini lebih adil dan mengurangkan kejutan kepada rakyat biasa. Namun bagi kumpulan B40, M50 dan T15, kerajaan boleh melaksanakan subsidi secara berlapis mengikut penggunaan bulanan supaya lebih seimbang dan mendidik rakyat menggunakan bahan api secara berhemah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagi memastikan mekanisme yang adil, Shamsuddin mencadangkan struktur harga mengikut penggunaan liter iaitu sekiranya harga pasaran RON95 berada di antara RM4.00 hingga RM4.50 tanpa subsidi.
Di bawah cadangan tersebut, ujarnya, golongan B40 dicadangkan akan dikenakan RM1.99 bagi 100 liter pertama, diikuti RM2.20 bagi 50 liter seterusnya dan RM2.40 untuk 50 liter terakhir manakala bagi golongan M50 pula, harga yang dicadangkan adalah RM2.40 bagi 100 liter pertama, RM2.60 bagi 50 liter seterusnya dan RM2.80 untuk 50 liter terakhir.
Sementara itu, tambahnya, golongan T15 akan membayar RM2.60 bagi 100 liter pertama, RM2.80 bagi 50 liter seterusnya dan RM3.00 bagi 50 liter terakhir, manakala golongan T5 tidak akan diberikan sebarang subsidi dan dikenakan harga pasaran sepenuhnya bagi semua liter penggunaan.
Beliau turut mencadangkan agar bantuan BUDI95 dikekalkan pada kadar 200 liter khusus untuk golongan sasar yang benar-benar layak bagi meringankan beban kos sara hidup mereka.
Walau bagaimanapun, Shamsuddin menegaskan bahawa terdapat satu syarat besar yang dituntut oleh rakyat sebelum langkah rasionalisasi tersebut dijalankan.
Beliau mendakwa, rakyat mahu melihat kesungguhan kerajaan dalam menghentikan segala bentuk pembaziran yang masih berlaku di pelbagai kementerian, agensi, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ujar beliau, rakyat hanya akan bersedia untuk melakukan pengorbanan sekiranya pihak pentadbiran sendiri menunjukkan tahap integriti dan kecekapan yang tinggi dalam menguruskan dana awam.
“Subsidi bukan hadiah. Subsidi ialah duit cukai (air peluh dan air mata) rakyat yang wajib diurus dengan amanah dan bijak,” katanya.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi.
Menurutnya, cadangan berkenaan telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lalu, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain. – The Merdeka Times