Terkini
Tarik balik Laporan Industri Padi dan Beras MyCC; Tersasar jauh, tak cerminkan realiti sebenar pesawah – PeSawah
- Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob menegaskan, dapatan laporan diterbitkan bulan lalu itu terlalu akademik dan hanya bersandarkan teori sehingga tersasar jauh daripada dinamik serta tekanan hidup sebenar dihadapi golongan pesawah di peringkat akar umbi.
- “Masalah utama laporan ini ialah pesawah dilihat sebagai sebahagian masalah, bukannya mangsa ketidakseimbangan struktur industri. Laporan ini terlalu akademik dan seperti ‘theoretical’ tetapi gagal memahami realiti sebenar pesawah dan kehidupan pesawah.
- “Kalau laporan dasar dibuat berdasarkan persepsi salah terhadap pesawah maka polisi yang lahir selepas dari ini juga akan terus menekan dan menzalimi pesawah. Kita rasa perlu ditarik baliklah. Bagi PeSAWAH, kita tak menyokong laporan ni dan juga kita harapkan pihak MyCC perlu buat kajian semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menarik semula Laporan Industri Padi dan Beras di Malaysia 2024 kerana dokumen tersebut dikatakan bermasalah, mempunyai percanggahan fakta serta mempamerkan kegagalannya dalam memahami realiti sebenar industri.
Bercakap kepada The Merdeka Times, Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob menegaskan, dapatan laporan yang diterbitkan bulan lalu itu terlalu akademik dan hanya bersandarkan teori sehingga tersasar jauh daripada dinamik serta tekanan hidup sebenar yang dihadapi golongan pesawah di peringkat akar umbi.
“Masalah utama laporan ini ialah ia melihat pesawah sebagai sebahagian daripada masalah, bukannya mangsa ketidakseimbangan struktur industri. Laporan ini terlalu akademik dan seperti ‘theoretical’ tetapi gagal memahami realiti sebenar pesawah dan kehidupan pesawah.
“Kalau laporan dasar dibuat berdasarkan persepsi yang salah terhadap pesawah maka polisi yang lahir selepas dari ini juga akan terus menekan dan menzalimi pesawah. Kita rasa perlu ditarik baliklah. Bagi PeSAWAH, kita tak menyokong laporan ni dan juga kita harapkan pihak MyCC perlu buat kajian semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menyentuh mengenai dakwaan laporan bahawa industri berkenaan beroperasi sebagai pasaran persaingan sempurna (perfect competitive market), Abdul Rashid menyangkal perkara itu kerana golongan pesawah langsung tidak mempunyai kuasa untuk menentukan harga padi.
Sebaliknya, pasaran itu terikat dengan kawalan harga lantai kerajaan, monopoli import beras, kawalan kartel pemborongan, kos jentera serta input pertanian.
“Malah, pesawah terus terhimpit oleh peningkatan kos operasi sehingga 52 peratus melibatkan kos pembajakan dan penuaian impak kenaikan harga diesel, baja, dan racun, sedangkan harga siling jualan masih kekal pada RM1,500 bagi setiap tan metrik.
“Situasi ini meletakkan pesawah sekadar sebagai penerima harga (price taker) yang terpaksa berpuas hati dengan margin keuntungan yang sangat kecil,” katanya.
Beliau turut kesal dengan kecenderungan laporan itu yang meletakkan kesalahan ke atas bahu pesawah dalam isu penggunaan benih tidak sah atau ‘kampit putih’.
Abdul Rashid menjelaskan, penggunaan kampit putih itu merupakan satu bentuk penyelesaian alternatif oleh petani ekoran isu kelewatan pengedaran benih padi sah (BPS), kualiti percambahan yang semakin merosot serta isu berat beg yang tidak mencukupi.
Justeru, kegagalan sistem pengeluaran benih daripada pihak pembekal tidak sepatutnya dituding kepada pesawah tambahan pula, kandungan laporan tersebut dilihat bercanggah sesama sendiri apabila pada satu bahagian memuji kualiti BPS namun di bahagian lain mengakui wujudnya isu ketidakpatuhan kualiti yang tidak konsisten di pasaran.
Beliau menambah, PeSAWAH juga menyifatkan laporan MyCC sebagai sangat mengelirukan apabila memasukkan program bantuan sosial umum seperti eMadani, Bantuan Tunai Rakyat, dan skim bantuan warga emas kononnya sebagai sebahagian daripada subsidi khusus industri padi.
“Kemasukan data itu dianggap tidak relevan kerana bantuan tersebut layak diterima oleh seluruh rakyat Malaysia berasaskan kategori pendapatan dan umur, bukannya insentif khas untuk pesawah.
“Tindakan dikhuatiri membina persepsi salah dalam kalangan masyarakat kononnya komuniti pesawah menerima limpahan bantuan yang terlalu besar daripada pihak kerajaan. Begitu juga dengan pelaporan skim takaful tanaman yang digambarkan seperti subsidi percuma, sedangkan pesawah dikehendaki membayar caruman secara bermusim untuk menyertainya,” katanya lagi.
Abdul Rashid berkata, pihaknya melihat laporan berkenaan gagal memaparkan tekanan hidup yang ditanggung pesawah seperti bebanan hutang input pertanian, isu rantaian keuntungan yang tidak seimbang dan kekurangan tenaga kerja muda.
Beliau turut mempersoalkan sesi libat urus (SLU) yang dijalankan sebelum ini sama ada suara petani benar-benar diambil kira atau sekadar untuk memenuhi syarat konsultasi korporat. – The Merdeka Times