Terkini
Sekatan arak sahaja tidak cukup, Penguatkuasaan mesti tegas – Pakar
- Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar menegaskan bahawa akses mudah dan waktu jualan arak yang panjang mempunyai kaitan langsung dengan peningkatan kadar kemalangan jalan raya terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
- Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau memetik contoh kejayaan di Thailand dan beberapa bahagian di Australia di mana sekatan waktu jualan selepas tengah malam berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh tertentu.
- “Sekatan waktu jualan bukanlah penyelesaian mutlak, ia hanya salah satu faktor. Penguatkuasaan undang-undang memandu dalam keadaan mabuk, kesedaran awam, dan alternatif pengangkutan awam yang selamat juga penting,” katanya ketika dihubungi.
KUALA LUMPUR – Langkah mengehadkan waktu jualan alkohol terbukti dapat menyelamatkan nyawa, namun ia perlu dilaksanakan secara serentak dengan pemerkasaan pendidikan serta penguatkuasaan yang konsisten.
Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar menegaskan bahawa akses mudah dan waktu jualan yang panjang mempunyai kaitan langsung dengan peningkatan kadar kemalangan jalan raya terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau memetik contoh kejayaan di Thailand dan beberapa bahagian di Australia di mana sekatan waktu jualan selepas tengah malam berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh tertentu.
“Sekatan waktu jualan bukanlah penyelesaian mutlak, ia hanya salah satu faktor. Penguatkuasaan undang-undang memandu dalam keadaan mabuk, kesedaran awam, dan alternatif pengangkutan awam yang selamat juga penting,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas mengenai faktor ‘keselesaan’ pembeli, Dr. Zainal Ariffin berkata, kepentingan nyawa orang lain di jalan raya harus mengatasi kesulitan individu akibat sekatan waktu tersebut.
Tegasnya, tanpa penguatkuasaan yang tegas, dikhuatiri masalah tersebut hanya akan beralih ke saluran lain tanpa menyelesaikan punca utama tragedi.
Beliau mengulas gesaan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran agar kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap penjualan alkohol termasuk menutup premis tanpa lesen, mengehadkan waktu jualan serta menghentikan paparan terbuka produk alkohol di premis perniagaan.
Yuneswaran berkata, langkah tersebut perlu dipertimbangkan bagi memperkukuh keselamatan awam susulan peningkatan kebimbangan terhadap kes melibatkan pemandu mabuk dan individu di bawah pengaruh dadah. – The Merdeka Times