Terkini
Sarawak sasar hasilkan 860,000 ekor babi bernilai RM1.29 bilion setahun
- Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi berkata, langkah ini menyusuli inisiatif kerajaan negeri untuk memperluaskan sektor penternakan babi secara signifikan menjelang tahun 2030.
- “Kami menyasarkan kapasiti keseluruhan 500,000 populasi babi hidup (SPP) melalui pentauliahan penuh kawasan ternakan babi (PFA) Pasir Puteh dan Selangau, di samping Ladang Babi Moden (MPF) di Ensengei.
- “Ladang-ladang ini disasarkan untuk menghasilkan 860,000 ekor babi baka daging setahun, yang bernilai RM1.29 bilion. Ini akan meletakkan Sarawak sebagai pengeksport serantau utama.
KUCHING – Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 860,000 ekor babi baka daging (porkers) setahun yang bernilai RM1.29 bilion menerusi tiga Kawasan Ternakan Babi (PFA).
Memetik laporan DayakDaily, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, langkah ini menyusuli inisiatif kerajaan negeri untuk memperluaskan sektor penternakan babi secara signifikan menjelang tahun 2030.
“Kami menyasarkan kapasiti keseluruhan sebanyak 500,000 populasi babi hidup (SPP) melalui pentauliahan penuh PFA Pasir Puteh dan Selangau, di samping ladang babi moden (MPF) di Ensengei.
“Ladang-ladang ini disasarkan untuk menghasilkan 860,000 ekor babi baka daging setahun, yang bernilai RM1.29 bilion. Ini akan meletakkan Sarawak sebagai pengeksport serantau utama.
“Ini sekaligus memacu keperluan untuk meningkatkan pemprosesan hiliran bagi pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Bagi mengurangkan defisit perdagangan makanan ternakan, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan tahap sara diri ternakan, selain memulakan libat urus dua hala dengan Kalimantan bagi meneroka peluang eksport babi.
Memandangkan Sarawak kekal bebas daripada penyakit kuku dan mulut (FMD) tanpa keperluan vaksinasi, Dr Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena (GPS-PBB) menambah bahawa kerajaan akan terus menyokong penyertaan sektor swasta dalam industri babi di samping mengekalkan langkah pencegahan penyakit yang ketat bagi memelihara status tersebut.
Menjawab pertanyaan ADUN Tamin, Christopher Gira (GPS-PRS) pada minggu lepas, Dr Rundi berkata, Kawasan Ternakan Babi Selangau dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta namun dipantau oleh pihak DVS.
“Projek seluas 233 hektar itu akan dibangunkan secara berfasa. Setakat ini, sejumlah 10 hektar tanah telah dibersihkan dan kerja-kerja infrastruktur asas seperti kawasan pejabat dan pentadbiran, pemagaran, pembinaan jalan masuk serta utiliti teras sedang dijalankan dan dijangka siap pada tahun 2028,” jelas Dr Rundi.
Beliau menambah bahawa projek berkenaan direka bentuk untuk mentransformasikan penternakan tradisional kepada industri eksport yang dipacu oleh teknologi.
“Pembangunan kawasan PFA Selangau ini akan menyediakan peluang pekerjaan dan pelbagai peluang perniagaan kepada komuniti setempat,” kata Dr Rundi. — The Merdeka Times