Terkini
Pasport Malaysia kini ke-6 paling berkuasa dunia
- Pasport Malaysia melonjak ke tangga keenam paling berkuasa di dunia bagi tahun 2026 berdasarkan laporan The Henley Passport Index 2026 Global Ranking, sekali gus mencatat peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-12 pada tahun lalu.
- “Pencapaian ini mencerminkan keyakinan serta pengiktirafan dunia terhadap Malaysia, di samping membuktikan kekuatan hubungan diplomatik dan mobiliti global negara yang terus diperkasa. Pasport Malaysia bukan sekadar dokumen perjalanan, malah simbol kedaulatan, kepercayaan.” – Jabatan Imigresen Malaysia
KUALA LUMPUR – Pasport Malaysia melonjak ke tangga keenam paling berkuasa di dunia bagi tahun 2026 berdasarkan laporan The Henley Passport Index 2026 Global Ranking, sekali gus mencatat peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-12 pada tahun lalu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu kenyataan memaklumkan pencapaian tersebut mencerminkan tahap keyakinan dan pengiktirafan antarabangsa yang semakin kukuh terhadap Malaysia.
Menurut jabatan itu, peningkatan ranking tersebut turut membuktikan kekuatan hubungan diplomatik negara serta keupayaan mobiliti global rakyat Malaysia yang terus diperkasa di peringkat antarabangsa.
“Pasport Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa apabila berjaya melonjak ke tangga ke-6 paling berkuasa di dunia bagi tahun 2026,” menurut kenyataan itu.
JIM berkata, pasport Malaysia bukan sekadar dokumen perjalanan, malah menjadi simbol kedaulatan negara, kepercayaan antarabangsa serta kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
Kedudukan itu dilihat sebagai antara pencapaian terbaik Malaysia dalam indeks pasport global sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus memperkukuh imej negara di mata dunia.
The Henley Passport Index merupakan antara penarafan pasport antarabangsa yang mengukur kekuatan sesebuah pasport berdasarkan jumlah destinasi yang boleh dimasuki tanpa visa atau dengan kemudahan visa semasa ketibaan.
Dalam pada itu, JIM menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan berintegriti demi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara kekal terpelihara.
“Kami akan terus komited dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan berintegriti demi memastikan keyakinan rakyat serta imej negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Pencapaian terbaharu itu turut dilihat memberi gambaran positif terhadap kedudukan Malaysia dalam aspek diplomasi antarabangsa, kestabilan negara dan penerimaan global terhadap rakyat Malaysia.-The Merdeka Times