Terkini
Negara ini berdiri atas adab, Bukan undang-undang semata-mata – Peguam
- Peguam yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid menegaskan bahawa adab dan kesopanan perlu diutamakan dalam perbahasan politik, khususnya apabila melibatkan institusi Raja Melayu dan perkara berkaitan keharmonian masyarakat.
- “Institusi Raja Melayu wujud lebih lama daripada banyak parti politik yang hari ini sibuk mahu ajar rakyat soal Perlembagaan dan Rukun Negara.
- “Orang tua-tua dulu ada ajar, ‘Jangan jadi babi yang hanya tahu sondol ke depan tanpa perhati batas tanaman dan tak tengok kiri kanan’,” katanya.
KUALA LUMPUR – Peguam yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid menegaskan bahawa adab dan kesopanan perlu diutamakan dalam perbahasan politik, khususnya apabila melibatkan institusi Raja Melayu dan perkara berkaitan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata terdapat pihak yang mendakwa mempertahankan Perlembagaan apabila mempertikai titah dan pandangan Sultan, seolah-olah hanya mereka memahami konsep demokrasi dan Raja Berperlembagaan.
Menurut beliau, rakyat Malaysia sudah lama memahami bahawa negara ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, di mana Raja tidak memerintah secara mutlak, namun institusi Raja juga bukan sekadar simbol untuk upacara rasmi dan istiadat semata-mata.
“Institusi Raja Melayu wujud lebih lama daripada banyak parti politik yang hari ini sibuk mahu ajar rakyat soal Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya.
“Bila Sultan bersuara tentang keharmonian negeri, sensitiviti masyarakat dan perpaduan rakyat, orang yang matang akan faham bahawa itu adalah tanggungjawab moral dan agama seorang Raja,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, terdapat ahli politik yang terlalu terbiasa dengan budaya provokasi sehingga semua perkara mahu dijadikan debat politik dan medan untuk menunjukkan kehebatan berhujah berdasarkan aspek teknikal undang-undang semata-mata.
“Mereka lupa bahawa negara ini bukan berdiri atas undang-undang semata-mata. Negara ini juga berdiri atas budaya, sejarah, adab dan kesopanan.
“Prinsip Rukun Negara bukan hanya menekankan Keluhuran Perlembagaan, tetapi turut merangkumi Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.
Menurut beliau, dua prinsip tersebut sering dilupakan apabila ada pihak terlalu ghairah mahu menjadi “jaguh politik”.
“Orang tua-tua dulu ada ajar, ‘Jangan jadi babi yang hanya tahu sondol ke depan tanpa perhati batas tanaman dan tak tengok kiri kanan.’
“Bila terlalu lama berkubang dengan benda kotor, akhirnya deria untuk jaga kebersihan juga hilang,” katanya.
Beliau turut mendakwa sensitiviti masyarakat dan kepentingan kesihatan diketepikan, selain menyifatkan ada pihak yang memahami soal undang-undang tetapi gagal memahami nilai kesusilaan. – The Merdeka Times