Terkini
Mahkamah India isytihar Masjid Kamal Maula sebagai kuil Hindu
- Keputusan pada Jumaat lalu itu menyaksikan panel hakim memihak kepada petisyen kumpulan Hindu yang mendakwa kompleks Masjid Kamal Maula itu dibina di atas runtuhan kuil kuno milik dewi mereka sekali gus membatalkan hak penganut Islam yang telah beribadat di tapak berkenaan sejak sekian lama.
- Bagi muazinnya, Mohammad Rafiq, yang berusia 78 tahun, penutupan pintu masjid tersebut menamatkan legasi keluarganya yang telah melaungkan azan di situ selama 50 tahun, iaitu masjid sama yang mana datuknya sendiri, Hafiz Naziruddin, pernah mengimami solat sebelum India mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada tahun 1947.
- Pada Ahad lalu, kompleks abad ke-13 hingga ke-14 itu mula dibanjiri dengan bendera oren safron, iaitu simbol yang dikaitkan dengan gerakan nasionalisme Hindu sayap kanan ‘Hindutva’, manakala sekumpulan pemuda mula melakukan ritual keagamaan dan memasang patung berhala sementara di bawah kawalan ketat pihak polis.
DHAR, MADHYA PRADESH – Sebuah masjid zaman pertengahan di bandar ini, Masjid Kamal Maula telah ditutup sepenuhnya daripada umat Islam susulan keputusan Mahkamah Tinggi Madhya Pradesh yang mengisytiharkan premis bersejarah tersebut sebagai sebuah kuil Hindu.
Keputusan pada Jumaat lalu itu menyaksikan panel hakim memihak kepada petisyen kumpulan Hindu yang mendakwa kompleks masjid itu dibina di atas runtuhan kuil kuno milik dewi mereka sekaligus membatalkan hak penganut Islam yang telah beribadat di tapak berkenaan sejak sekian lama.
Bagi muazinnya, Mohammad Rafiq, yang berusia 78 tahun, penutupan pintu masjid tersebut menamatkan legasi keluarganya yang telah melaungkan azan di situ selama 50 tahun, iaitu masjid sama yang mana datuknya sendiri, Hafiz Naziruddin, pernah mengimami solat, sebelum India mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada tahun 1947.
Pada Ahad lalu, kompleks abad ke-13 hingga ke-14 itu mula dibanjiri dengan bendera oren safron, iaitu simbol yang dikaitkan dengan gerakan nasionalisme Hindu sayap kanan ‘Hindutva’, manakala sekumpulan pemuda mula melakukan ritual keagamaan dan memasang patung berhala sementara di bawah kawalan ketat pihak polis.
Memetik laporan agensi media antarabangsa, Aljazeera, langkah mahkamah mengubah status Masjid Kamal Maula tersebut dilihat mengulangi corak rampasan premis ibadat Islam yang semakin rancak di seluruh India sejak pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi menguasai tampuk pemerintahan pada 2014.
Perkembangan ini sekaligus mencetuskan kebimbangan mendalam berhubung nasib hak kebebasan beragama golongan minoriti di negara itu.
Tapak Masjid Kamal Maula, atau apa yang dipanggil sebagai kompleks Bhojshala, telah lama menjadi medan pertikaian sejak akhir tahun 1950-an.
Di bawah perjanjian tahun 2003 dengan Tinjauan Arkeologi India (ASI), penganut Hindu dibenarkan melawat tapak tersebut pada setiap hari Selasa, manakala umat Islam dibenarkan menunaikan solat pada hari Jumaat.
Namun, keputusan terbaharu mahkamah berkenaan telah mengisytiharkan tapak tersebut sebagai kuil Vagdevi dan menolak terus tuntutan komuniti Muslim, walaupun penghakiman tersebut masih memberi ruang kepada pihak Muslim untuk memohon sebidang tanah alternatif di daerah berkenaan bagi membina sebuah masjid baharu.
Mahkamah bersandarkan sebahagian besarnya pada laporan tinjauan monumen oleh ASI dua tahun lalu, satu tindakan yang dikritik hebat oleh pakar sejarah termasuk Audrey Truschke yang menyifatkan kajian tersebut didorong oleh motif politik serta tidak memenuhi piawaian akademik antarabangsa.
Truschke menegaskan bahawa trend menyasarkan masjid-masjid di India adalah sebahagian daripada Islamofobia yang ‘mendarah daging’ dalam nasionalisme Hindu sebagai cara untuk mengganggu dan mengancam komuniti Muslim.
Walaupun pihak Hindu dalam kes ini menyambut baik dan menjulang keputusan tersebut sebagai suatu kemenangan yang bersejarah, komuniti Muslim pula sebaliknya berikrar untuk mencabar penghakiman berkenaan di peringkat Mahkamah Agung.
Malah, peguam bela bagi pihak Muslim mendedahkan bukti warta rasmi era British bertarikh Ogos 1935 yang menyatakan kompleks itu adalah sebuah masjid dan akan kekal sebagai masjid untuk masa hadapan, namun dokumen itu ditolak oleh mahkamah atas alasan ia mendahului undang-undang semasa.
Pertikaian juga membabitkan tuntutan pihak Hindu untuk membawa pulang patung berhala Vagdevi atau ‘Ambika’ yang kini dipamerkan di Muzium British di London.
Walaupun rekod muzium dan peta rasmi jelas menunjukkan patung itu ditemui di runtuhan Istana Kota pada tahun 1875 yang terletak berasingan daripada Masjid Kamal Maula, pihak mahkamah tetap meminta kerajaan India mempertimbangkan usaha membawa pulang artifak tersebut.
Peguam bela, Ashhar Warsi menegaskan bahawa penghakiman itu adalah satu kesilapan besar yang jelas melanggar Akta Tempat Ibadat India 1991, sebuah undang-undang yang sepatutnya mengekalkan status asal semua tempat ibadat seperti mana ia wujud ketika tarikh kemerdekaan pada Ogos 1947 bagi mengelakkan tuntutan baharu.
Kritikan keras turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Hyderabad, Asaduddin Owaisi, yang menyifatkan ASI telah menjadi alat politik kumpulan Hindutva dan memberi amaran bahawa tindakan menukar fungsi masjid tersebut menghantar isyarat ancaman besar kepada keselamatan tempat ibadat golongan minoriti.
Beliau mengaitkan keputusan itu dengan penghakiman Mahkamah Agung pada 2019 berhubung isu peruntuhan Masjid Babri abad ke-16 di Ayodhya yang didakwanya telah membuka pintu seluas-luasnya kepada lambakan tuntutan mahkamah yang serupa di lokasi lain seperti di Kashi dan Mathura.
Sentimen ini diakui sendiri oleh Gopal Sharma, penganjur organisasi Hindu tempatan, yang menyatakan bahawa sejak kejatuhan Masjid Babri, keyakinan masyarakat Hindu telah meningkat untuk menegakkan sistem Hindu di bawah pentadbiran Modi, sekali gus menandakan berakhirnya era politik sekular dan toleransi agama yang diamalkan sebelum ini di India. – The Merdeka Times