Connect with us

Terkini

Lim Guan Eng label Khairy, UMNO ‘progresif palsu’ pertahan politik Akmal Saleh

Published

on

Foto: Penasihat DAP, Lim Guan Eng (kiri) dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (kanan).
  • Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan parti berkenaan sebagai ‘progresif yang palsu’ susulan kenyataan terbaharu Khairy mengatakan gaya politik Dr. Muhamad Akmal Saleh masih diperlukan dalam UMNO.
  • “Jelas sekali, cubaan Khairy untuk ‘membersihkan’ tindakan Akmal yang tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab itu membuktikan bahawa kedua-dua pihak iaitu UMNO dan Khairy sendiri adalah golongan progresif yang palsu,” katanya.

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan parti berkenaan sebagai ‘progresif yang palsu’ susulan kenyataan terbaharu Khairy mengatakan gaya politik Dr. Muhamad Akmal Saleh masih diperlukan dalam UMNO.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan, menyatakan kekesalan beliau terhadap penegasan Khairy tersebut. 

“Khairy sebelum ini dilihat memberi gambaran bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertoleransi dengan politik perang budaya (culture war) serta gaya kontroversi Dr. Akmal disebabkan wujudnya ‘ancaman jelas dan nyata di blok (politik) kanan yang kini didominasi oleh Perikatan Nasional (PN)’.

“Dua kesilapan tidak akan menghasilkan satu kebenaran. Jika PN dianggap salah kerana terlibat dalam tindakan ekstremis dan gaya kontroversi demi mengukuhkan sokongan nasionalis Melayu, maka ia adalah sama salah untuk pemimpin Pemuda UMNO mengikut jejak langkah yang sama,” tegas Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menarik perhatian bahawa pendirian Khairy ketika ini amat berbeza dengan imej dirinya sewaktu dipecat oleh Ahmad Zahid sebelum ini.

Menurut Lim, Khairy pada waktu itu memperjuangkan garis politik bukan perkauman serta dasar progresif yang digambarkan sebagai adil dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Jelas sekali, cubaan Khairy untuk ‘membersihkan’ tindakan Akmal yang tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab itu membuktikan bahawa kedua-dua pihak iaitu UMNO dan Khairy sendiri adalah golongan progresif yang palsu,” katanya.

Mengulas lanjut, Lim mendakwa UMNO telah menunjukkan cita-cita mereka yang sangat jelas untuk merebut kuasa dengan apa juga cara sekalipun.

Beliau merujuk kepada dakwaan cubaan rampasan kuasa yang gagal membabitkan kerajaan negeri Negeri Sembilan serta pengisytiharan perang secara unilateral di Johor apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Sehubungan itu, Lim menegaskan bahawa pihak yang sebelum ini meletakkan jangkaan tinggi mahupun harapan terhadap Khairy kini boleh menilai sendiri sifat sebenar mereka.

“Bagi mereka yang menaruh harapan kepada Khairy, sekarang mereka boleh melihat bahawa kedua-dua Khairy dan UMNO telah membuktikan bahawa ‘a leopard cannot change its spots’,” ujarnya. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author