Connect with us

Terkini

Kumpulan Hindu tuntut ritual kuil dalam masjid

Published

on

Foto:
  • Muslim Network TV melaporkan, ini merupakan tindakan terbaharu dalam gelombang usaha yang semakin meningkat oleh organisasi Hindu untuk menuntut masjid dan monumen Islam berusia ratusan tahun sebagai bekas kuil Hindu.
  • Ahli-ahli kumpulan Maharana Pratap Sena telah mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan kebenaran untuk membaca Hanuman Chalisa, iaitu sejenis lagu pujian keagamaan Hindu, di dalam kompleks masjid yang terletak di bandar Ajmer itu.
  • Kumpulan tersebut mendakwa bahawa tapak berkenaan asalnya merupakan sebuah kuil Hindu dan pusat pendidikan Sanskrit sebelum ditukarkan menjadi masjid beratus-ratus tahun dahulu, iaitu satu dakwaan yang kini semakin kerap digunakan oleh kumpulan ekstremis Hindu di seluruh India untuk mencabar status tapak keagamaan Islam melalui mahkamah, tekanan politik dan mobilisasi awam.

NEW DELHI – Sebuah kumpulan penyokong nasionalisme Hindu di India telah menuntut kebenaran untuk mengadakan upacara sembahyang Hindu di dalam masjid bersejarah Adhai Din Ka Jhonpra di Rajasthan. 

Muslim Network TV melaporkan, ini merupakan tindakan terbaharu oleh organisasi Hindu dalam gelombang usaha yang semakin meningkat untuk menuntut masjid dan monumen Islam berusia ratusan tahun sebagai bekas kuil Hindu.

Ahli-ahli kumpulan Maharana Pratap Sena telah mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan kebenaran untuk membaca Hanuman Chalisa, iaitu sejenis lagu pujian keagamaan Hindu di dalam kompleks masjid yang terletak di bandar Ajmer itu.

Kumpulan tersebut mendakwa bahawa tapak berkenaan asalnya merupakan sebuah kuil Hindu dan pusat pendidikan Sanskrit sebelum ditukarkan menjadi masjid beratus-ratus tahun dahulu, iaitu satu dakwaan yang kini semakin kerap digunakan oleh kumpulan ekstremis Hindu di seluruh India untuk mencabar status tapak keagamaan Islam melalui mahkamah, tekanan politik dan mobilisasi awam.

“Pertikaian ini berlaku di tengah-tengah kebimbangan yang kian meningkat dalam kalangan kumpulan Muslim dan penyokong hak asasi berhubung apa yang disifatkan mereka sebagai kempen yang semakin meluas untuk menguasai tapak warisan Islam secara simbolik dan sah dari segi undang-undang di bawah kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi,” lapor media tersebut.

Sejak Modi memegang tampuk kuasa pada tahun 2014, kata laporan itu, kumpulan Hindu yang bersekutu dengan gerakan Hindutva yang lebih luas telah menyasarkan masjid, makam dan monumen era Islam dengan mendakwa bahawa struktur tersebut dibina di atas kuil Hindu yang dimusnahkan semasa pemerintahan Muslim pada zaman pertengahan.

Kebanyakan daripada kempen tersebut disusuli dengan petisyen mahkamah, tuntutan arkeologi serta sokongan politik daripada pemimpin yang dikaitkan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap polarisasi kaum yang semakin mendalam di negara berkenaan.

Adhai Din Ka Jhonpra, yang terletak di bandar bersejarah Ajmer di barat India, dianggap sebagai salah sebuah masjid tertua di utara India. 

Ahli sejarah menyatakan bahawa struktur itu pada asalnya dibina pada akhir abad ke-12 semasa pemerintahan Muhammad Ghori dan kemudiannya diperluaskan oleh pemerintah Kesultanan Delhi, Iltutmish. 

Monumen tersebut terkenal dengan seni bina Indo-Islam, ukiran ayat-ayat Al-Quran serta panel batu yang diukir dengan rumit.

Pihak berkuasa tempatan telah meminta maklum balas terperinci daripada Tinjauan Arkeologi India (ASI) mengenai sama ada kebenaran patut diberikan dan adakah acara sedemikian boleh mencetuskan ketenteraman awam.

Dalam permohonannya, kumpulan Hindu tersebut berhujah bahawa simbol seni bina dan ukiran di dalam kompleks itu menunjukkan asal-usul Hindu. 

Dakwaan serupa semakin kerap muncul melibatkan pelbagai tapak Islam di seluruh India, meskipun terdapat pertikaian dalam kalangan ahli sejarah dan ahli arkeologi berhubung kenyataan sedemikian.

Isu ini jelas laporan itu, mencerminkan corak yang lebih luas yang dapat dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pertikaian undang-undang menyelubungi masjid Gyanvapi di Varanasi dan masjid Shahi Idgah di Mathura, yang mana kedua-duanya didakwa oleh kumpulan Hindu dibina di atas kuil.

Minggu lalu, sebuah mahkamah di Madhya Pradesh telah mengiktiraf kompleks masjid Kamal Maula yang berusia 700 tahun di Dhar sebagai sebuah kuil Hindu yang didedikasikan kepada dewi Saraswati selepas petisyen difailkan oleh kumpulan Hindu, sekali gus meningkatkan lagi kebimbangan dalam kalangan umat Islam India berhubung sokongan kehakiman dan politik terhadap dakwaan sedemikian.

Kumpulan Muslim dan penyokong hak sivil memberi amaran bahawa percubaan berulang kali untuk mentakrifkan semula monumen Islam sebagai tapak Hindu sedang merubah rangka kerja sekular dan perlembagaan India, di samping mempertingkat rasa tidak selamat dalam kalangan 200 juta penduduk Islam di negara tersebut. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author