Connect with us

Terkini

Ketepi perbezaan idealogi demi kesepakatan Melayu untuk kepentingan Melayu, Islam

Published

on

Foto: Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali.
  • Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, langkah itu bagi memastikan pembentukan sebuah komuniti yang kuat dan mempunyai kesepakatan dalam hal-hal membabitkan kepentingan Melayu serta Islam.
  • Sehubungan itu, beliau menyeru agar umat Islam menyahut titah Baginda itu untuk mengetepikan sebarang perbezaan ideologi mahupun kumpulan demi kebersamaan bangsa.
  • Menurutnya, perkara itu penting memandangkan perpaduan orang Melayu merupakan tunjang utama yang akan membawa kepada kesejahteraan, suasana harmoni, serta kestabilan bagi peringkat negeri mahupun negara.

KUALA LUMPUR – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar semua pihak mengambil iktibar daripada perpecahan orang Melayu Islam sebelum ini mencerminkan penekanan Baginda kepada aspek perpaduan orang Melayu.

Bercakap kepada The Merdeka Times, penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, langkah itu bagi memastikan pembentukan sebuah komuniti yang kuat dan mempunyai kesepakatan dalam hal-hal membabitkan kepentingan Melayu serta Islam. 

Sehubungan itu, beliau menyeru agar umat Islam menyahut titah Baginda itu untuk mengetepikan sebarang perbezaan ideologi mahupun kumpulan demi kebersamaan bangsa.

Menurutnya, perkara itu penting memandangkan perpaduan orang Melayu merupakan tunjang utama yang akan membawa kepada kesejahteraan, suasana harmoni, serta kestabilan bagi peringkat negeri mahupun negara.

“Apabila Tuanku menyentuh tentang perpaduan Melayu, Baginda sebenarnya menyeru agar kita semua bersatu padu kerana penyatuan itulah yang akan menjadikan orang Melayu kuat. Dengan adanya perpaduan, kita akan dapat mencapai kata sepakat dalam perkara yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam. 

“Justeru, bersempena dengan Aidiladha ini, umat Islam mestilah menyahut titah baginda dengan mengetepikan perbezaan ideologi atau kumpulan. Apabila melibatkan kepentingan agama dan bangsa, orang Melayu wajib bersatu dan bergerak bersama-sama,” katanya ketika  dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Hari ini, Sultan Selangor menitahkan agar semua pihak mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.

Sultan Selangor turut menzahirkan pemerhatian Baginda terhadap landskap politik tanah air mutakhir ini yang menyaksikan terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Mengambil teladan daripada perpaduan ummah semasa menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, Baginda berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata kerana jika terus bertelingkah, bangsa sendiri yang akan rugi dan menjadi lemah.

Mengulas dinamik negeri Selangor, Dr Mazlan menjelaskan sebagai sebuah negeri masyarakat majmuk, Sultan Selangor menuntut semua pihak untuk mestilah saling hormat-menghormati antara satu sama lain. 

Bagaimanapun, beliau menarik perhatian mengenai kewujudan beberapa isu tertentu di Selangor sebelum ini yang mana Sultan Selangor secara tidak langsung telah memberi nasihat, namun terdapat sesetengah pihak yang dilihat seolah-olah tidak menjunjung titah Baginda.

Tindakan mengabaikan nasihat tersebut ujarnya, menyaksikan Sultan Selangor ada menyebut beberapa nama secara spesifik di dalam titah baginda. 

Dr Mazlan berkata, adalah tidak manis apabila titah seorang payung negeri tidak diambil berat atau diambil serius oleh setiap individu yang bernaung di bawah pemerintahannya.

“Jadi Tuanku sebagai payung negeri ini dan semua pihak mesti kena akur. Jangan sekali mempersoalkannya,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author