Connect with us

Terkini

Kerajaan jamin Suruhanjaya Keharmonian Nasional tidak sentuh Islam, Raja Melayu dan hak Bumiputera

Published

on

Foto: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
  • Penegasan itu dibuat menerusi satu kenyataan media pada 11 Mei 2026 susulan pelbagai reaksi dan kebimbangan awam berhubung pelaksanaan sesi libat urus cadangan penubuhan SKN yang sedang dijalankan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
  • “Kementerian ingin menegaskan bahawa sesi libat urus ini bukan platform membuat keputusan muktamad, sebaliknya merupakan ruang rasmi untuk mendapatkan pandangan secara berhemah dan tersusun,” menurut kenyataan itu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara memberi jaminan tegas bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) tidak akan menyentuh atau mengubah perkara-perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan hak istimewa Bumiputera.

Penegasan itu dibuat menerusi satu kenyataan media pada 11 Mei 2026 susulan pelbagai reaksi dan kebimbangan awam berhubung pelaksanaan sesi libat urus cadangan penubuhan SKN yang sedang dijalankan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Menurut kementerian, sesi libat urus tersebut bukan platform membuat keputusan muktamad, sebaliknya hanya proses awal bagi mendapatkan pandangan, cadangan, kebimbangan serta maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum sebarang pertimbangan lanjut dibuat kerajaan.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa sesi libat urus ini bukan platform membuat keputusan muktamad, sebaliknya merupakan ruang rasmi untuk mendapatkan pandangan secara berhemah dan tersusun,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menjelaskan bahawa semua pandangan yang diterima akan direkod, diteliti dan diperhalusi secara objektif serta profesional sebelum sebarang langkah susulan dipertimbangkan.

Dalam kenyataan sama, kementerian menegaskan beberapa perkara asas Perlembagaan Persekutuan kekal terpelihara dan tidak akan disentuh melalui cadangan SKN, antaranya Perkara 3 berkaitan Islam sebagai Agama Persekutuan, Perkara 121 mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah, kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera serta Perkara 152 mengenai Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Menurut kementerian, perkara-perkara tersebut merupakan asas utama pembentukan negara yang kekal dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial negara.

Pada masa sama, kementerian menjelaskan proses penggubalan sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) adalah panjang dan ketat serta tidak boleh diputuskan hanya melalui sesi libat urus awam.

Antara proses yang perlu dilalui termasuk penilaian Majlis Pengurusan Tertinggi kementerian, penelitian Jabatan Peguam Negara, Regulatory Impact Analysis (RIA), kelulusan Jemaah Menteri serta pembentangan di Dewan Rakyat.

“Kementerian ingin menjelaskan bahawa sesuatu RUU tidak dipersetujui hanya melalui sesi libat urus,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kementerian, sekiranya dapatan sesi libat urus tidak menunjukkan keperluan atau kesesuaian, proses cadangan penggubalan juga boleh dihentikan.

Bagi sesi libat urus NGO 1.0, sebanyak 78 pertubuhan daripada pelbagai latar belakang telah dijemput termasuk pertubuhan Islam, badan hak asasi manusia, pertubuhan antara agama, badan guaman dan organisasi advokasi.

Antara organisasi terlibat ialah Multiracial Reverted Muslims (MRM), PEMBINA, ISMA, ABIM, PEKIDA Malaysia, IKRAM, UNIFOR Sarawak, Harmonico Penang, Bar Council, ACCIN, PEMBELA, Christian Federation of Malaysia, Malaysia Hindu Sangam dan Persatuan Buddhist Malaysia (MBA).

Menurut kementerian lagi, sesi libat urus itu akan dilaksanakan secara bersiri dan berfasa melibatkan NGO, agensi kerajaan, JAKIM, ahli Parlimen, parti politik serta kerajaan negeri bagi memastikan setiap perspektif dapat dinilai secara menyeluruh.

Cadangan penubuhan SKN dikatakan memberi fokus kepada pendekatan pencegahan awal konflik, mediasi, pendamaian serta penyelesaian pertikaian secara harmoni dan konstruktif demi memperkukuh keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author