Terkini
Isu PRN Johor: “Tidak timbul soal khianat” – BN
- “Barisan Nasional berpendirian persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Ke-15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan dan persefahaman ini disepakati hingga mandat berakhir.
- “Justeru tidak timbul persoalan Barisan Nasional mengkhianati Kerajaan Perpaduan,”- Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menegaskan tidak timbul sama sekali persoalan bahawa parti itu mengkhianati Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan BN Negeri Johor sebelum ini berhubung hala tuju dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyatakan bahawa gabungan politik itu kekal menghormati pendirian disuarakan oleh BN Negeri Johor yang dibuat selaras dengan pandangan semua pihak dalam parti komponen di peringkat negeri.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa asas pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan ketika ini adalah bersandarkan kepada agenda kestabilan yang lebih besar.
“Barisan Nasional berpendirian persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan.
“Dan persefahaman ini disepakati hingga mandat berakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Zambry memberi jaminan bahawa BN akan terus memainkan peranan aktif dalam memelihara kestabilan kerajaan sedia ada demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan sehingga tamat penggal pentadbiran.
BN Negeri Johor sebelum ini dilaporkan mengesahkan akan bergerak secara solo dan tidak mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, susulan itu pihaknya akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRN itu.
Sebagai respons, PH Johor dilaporkan berazam mahu ‘menguburkan’ BN buat kali kedua pada PRN tersebut.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, PH tidak akan sesekali goyah sebelum bertanding walaupun BN Johor telah mengumumkan bertanding solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). — The Merdeka Times