Terkini
Isu pemandu mabuk: R. Yuneswaran cadang had waktu jualan arak, Premis haram ditutup
- “Tindakan tegas perlu diambil terhadap premis penjualan arak tanpa lesen termasuk penutupan premis dan pembatalan lesen perniagaan, serta larangan penjualan berhampiran kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah dan institusi pendidikan. Penjualan alkohol secara 24 jam di kedai-kedai runcit juga perlu dikaji semula dan dihadkan kepada waktu tertentu seperti yang berlaku di negara jiran.” – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran
- Kenyataan tersebut dibuat susulan tragedi kemalangan maut di Jalan Ampang yang mengorbankan pasangan suami isteri selepas dipercayai dirempuh pemandu mabuk baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan lebih tegas terhadap penjualan alkohol termasuk menutup premis tanpa lesen, mengehadkan waktu jualan serta menghentikan paparan terbuka produk alkohol di premis perniagaan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, langkah tersebut perlu dipertimbangkan bagi memperkukuh keselamatan awam susulan peningkatan kebimbangan terhadap kes melibatkan pemandu mabuk dan individu di bawah pengaruh dadah.
Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil terhadap premis penjualan arak tanpa lesen termasuk penutupan premis dan pembatalan lesen perniagaan.
Beliau turut mencadangkan larangan penjualan alkohol berhampiran kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah dan institusi pendidikan.
“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan had waktu penjualan alkohol serta menghentikan paparan terbuka produk alkohol di kaunter dan rak jualan sebagaimana kawalan terhadap produk rokok,” katanya dalam satu kenyataan.
R. Yuneswaran berkata, penjualan alkohol secara 24 jam di kedai runcit juga perlu dikaji semula dan dihadkan kepada waktu tertentu seperti diamalkan di beberapa negara jiran.
Kenyataan tersebut dibuat susulan tragedi kemalangan maut di Jalan Ampang yang mengorbankan pasangan suami isteri selepas dipercayai dirempuh pemandu mabuk baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah tidak lagi boleh dianggap sebagai kesalahan jalan raya biasa sebaliknya ancaman serius terhadap keselamatan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan memperketatkan penguatkuasaan terhadap penjualan alkohol kepada golongan muda serta meneliti pindaan undang-undang bagi memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah.-The Merdeka Times