Terkini
Israel ancam saman New York Times isu dakwaan rogol tahanan Palestin
- Kementerian Luar Israel menerusi kenyataan di media sosial mendakwa artikel itu mengandungi “pembohongan paling menjijikkan dan diputarbelitkan” terhadap negara berkenaan selain menuduh The New York Times memfitnah anggota tentera Israel.
- Bagaimanapun, The New York Times menolak ancaman saman tersebut dan mempertahankan kredibiliti laporan Kristof yang menurut akhbar itu dibuat berdasarkan proses semakan fakta yang ketat.
- Jurucakap akhbar itu, Danielle Rhoades Ha berkata, ancaman saman berkenaan merupakan sebahagian daripada taktik politik untuk melemahkan laporan media bebas dan menekan kewartawanan yang tidak selari dengan naratif tertentu.
WILAYAH HARAM TEL AVIV – Kerajaan haram Israel mengancam untuk memfailkan saman fitnah terhadap akhbar Amerika Syarikat, The New York Times susulan penerbitan satu artikel yang memuatkan dakwaan penderaan seksual terhadap tahanan Palestin di pusat tahanan Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Luarnya, Gideon Sa’ar dilaporkan telah mengarahkan tindakan undang-undang dimulakan terhadap akhbar tersebut selepas artikel tulisan kolumnis Nicholas Kristof diterbitkan dalam ruangan pendapat minggu ini.
Kementerian Luar Israel menerusi kenyataan di media sosial mendakwa artikel itu mengandungi “pembohongan paling menjijikkan dan diputarbelitkan” terhadap negara berkenaan selain menuduh The New York Times memfitnah anggota tentera Israel.
Netanyahu turut menuduh akhbar tersebut cuba mewujudkan “persamaan palsu” antara Hamas dan tentera Israel melalui laporan berhubung dakwaan rogol serta penderaan seksual terhadap tahanan Palestin.
“Kami akan melawan pembohongan ini di mahkamah undang-undang dan mahkamah pendapat awam. Kebenaran akan menang,” katanya seperti dilaporkan Reuters.
Bagaimanapun, The New York Times menolak ancaman saman tersebut dan mempertahankan kredibiliti laporan Kristof yang menurut akhbar itu dibuat berdasarkan proses semakan fakta yang ketat.
Jurucakap akhbar itu, Danielle Rhoades Ha berkata, ancaman saman berkenaan merupakan sebahagian daripada taktik politik untuk melemahkan laporan media bebas dan menekan kewartawanan yang tidak selari dengan naratif tertentu.
Menurut The New York Times, Kristof telah menemu bual 14 lelaki dan wanita Palestin yang mendakwa menjadi mangsa penderaan seksual ketika berada dalam tahanan Israel. Dakwaan itu dikatakan cuba disahkan melalui saksi lain, ahli keluarga, peguam, kumpulan hak asasi manusia dan laporan penyelidikan bebas.
Artikel tersebut turut memuatkan dakwaan penderaan seksual termasuk rogol yang didakwa dilakukan oleh pengawal penjara, tentera, peneroka dan pegawai soal siasat Israel.
Namun, Kristof menegaskan tiada bukti bahawa kepimpinan tertinggi Israel mengarahkan perlakuan sedemikian dan laporan itu turut memasukkan penafian rasmi daripada pihak Israel.
Dalam pada itu, beberapa pakar undang-undang media antarabangsa mempersoalkan kemungkinan Israel berjaya meneruskan saman tersebut di mahkamah Amerika Syarikat.
Profesor emeritus undang-undang media, David A. Logan berkata, terdapat konsensus undang-undang bahawa Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat menghalang kerajaan daripada menyaman pengkritik kerajaan berkaitan kebebasan bersuara dan laporan media.
Sementara itu, pakar undang-undang media antarabangsa, Mark Stephens menyifatkan idea Israel menyaman The New York Times sebagai “tidak masuk akal” dan lebih bermotifkan politik berbanding undang-undang.
Ini bukan kali pertama Netanyahu mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap The New York Times. Tahun lalu, beliau turut membangkitkan cadangan menyaman akhbar tersebut susulan laporan mengenai kebuluran di Gaza, namun tiada tindakan lanjut diambil selepas itu.-The Merdeka Times