Terkini
Guru Muslim dakwa dipaksa tanggal hijab atau berhenti kerja di India
- Guru tersebut, Samreen Bano menerusi perkongsian video di media sosial mendakwa, banyak sekolah dan keluarga enggan mengambilnya bekerja selepas mengetahui identiti agamanya.
- “Pada masa kini, amat sukar bagi seorang guru Muslim baharu untuk berkembang secara profesional. Orang memanggil kami untuk temu duga atau kelas demo, tetapi sebaik sahaja mereka tahu kami beragama Islam, mereka terus menolak,” kata Samreen.
VARANASI, UTTAR PRADESH – Seorang guru beragama Islam dari bandar Varanasi, yang terletak di negeri Uttar Pradesh, utara India, mendakwa dia menjadi mangsa diskriminasi agama ketika mencari pekerjaan.
Dia kemudiannya dikatakan diarah untuk menanggalkan hijab atau meninggalkan sebuah sekolah swasta pada hari pertama beliau mula bertugas.
Guru tersebut, Samreen Bano menerusi perkongsian video di media sosial mendakwa, banyak sekolah dan keluarga enggan mengambilnya bekerja selepas mengetahui identiti agamanya.
Dalam salah satu video tersebut, dia menyatakan bahawa guru beragama Islam sering berhadapan dengan prejudis semasa sesi temu duga dan pertanyaan mengenai kelas tuisyen.
“Pada masa kini, amat sukar bagi seorang guru Muslim baharu untuk berkembang secara profesional.
“Orang memanggil kami untuk temu duga atau kelas demo, tetapi sebaik sahaja mereka tahu kami beragama Islam, mereka terus menolak,” kata Samreen.
Memetik laporan portal The Observer Post, Samreen mendedahkan bahawa pengaruh stereotaip negatif terhadap umat Islam kini telah meresap sehingga ke sekolah-sekolah.
“Terdapat begitu banyak kebencian sehingga kanak-kanak didorong untuk merasa takut kepada guru beragama Islam sebelum mengenali mereka,” katanya.
Menurut Samreen, pada mulanya murid-murid menjaga jarak daripadanya disebabkan persepsi awal tersebut.
“Apabila mereka mula memahami kami secara perlahan-lahan, mereka mula berbual secara normal. Tugas kami hanyalah untuk mendidik kanak-kanak dan membantu mereka menghormati setiap agama,” tambahnya.
Dia menjelaskan lagi, pendidik beragama Islam secara rutin menyertai aktiviti doa di sekolah tanpa sebarang bantahan.
“Kami berdiri dengan tangan yang dirapatkan semasa waktu doa seperti orang lain. Kami tidak pernah meminta sesiapa untuk menukar agama mereka,” katanya.
Kira-kira dua minggu selepas video pertamanya tular, Samreen memuat naik satu lagi klip video yang mendakwa Buddha Public School telah memintanya untuk sama ada menanggalkan hijab atau meletak jawatan.
Dia mendakwa, tiada syarat berkaitan etika berpakaian yang dinyatakan semasa proses temu duga.
Walau bagaimanapun, pada hari pertama bekerja, pentadbiran sekolah didakwa membantah pemakaian hijabnya.
“Ini adalah benar-benar propaganda terhadap umat Islam,” kata Samreen dalam video tersebut.
“Jika orang lain boleh menzahirkan kepercayaan mereka melalui sindoor dan mangalsutra, mengapa hijab saya pula yang menjadi masalah?” soalnya.
Satu video pendek yang tular secara dalam talian memaparkan seorang individu yang dikaitkan dengan pengurusan sekolah memberitahunya bahawa jika peraturan sekolah tidak sesuai dengannya, dia boleh berhenti.
Dalam klip itu, individu tersebut kedengaran berkata: “Tidak semua orang adalah sama. Pergilah ke mana-mana sahaja yang sesuai dengan anda.” – The Merdeka Times