Connect with us

Terkini

Ekuiti Bumiputera 50%: PAS minta penjelasan terperinci, elak rugi, rakyat keliru

Published

on

Foto: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
  • Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, kerajaan perlu menjelaskan perkara-perkara seperti garis panduan, pengecualian spesifik mengikut sektor, fasa-fasa pelaksanaan, penilaian impak pasaran dan konsultasi industri dengan sebaik-baiknya.
  • “Dasar melibatkan aset bernilai tinggi dengan kesan langsung ke atas pasaran modal, institusi kewangan dan dana awam tidak seharusnya ditangani secara tidak jelas atau terdedah kepada tafsiran yang saling bercanggah,” katanya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menjelaskan secara terperinci berhubung pelaksanaan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 50 peratus ke atas transaksi hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas, agar ia tidak terus menimbulkan kekeliruan, ketidaktentuan dan kebimbangan tidak perlu dalam kalangan pelabur, sektor perniagaan dan juga orang awam.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, kerajaan perlu menjelaskan perkara-perkara seperti garis panduan, pengecualian spesifik mengikut sektor, fasa-fasa pelaksanaan, penilaian impak pasaran dan konsultasi industri dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata, ini kerana jurang antara matlamat serta objektif kerajaan dengan kejelasan dasar yang dilaksanakan setakat ini  masih luas dan sangat perlu ditangani dengan segera.

“PAS akur bahawa usaha untuk memperkukuh penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam ekonomi adalah selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta cita-cita dan matlamat pembangunan seimbang.

“Namun begitu, dasar melibatkan aset bernilai tinggi dengan kesan langsung ke atas pasaran modal, institusi kewangan dan dana awam tidak seharusnya ditangani secara tidak jelas atau terdedah kepada tafsiran yang saling bercanggah,”  katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurut Penasihat DAP itu, peningkatan syarat daripada 30 peratus kepada 50 peratus dilihat sebagai satu perubahan dasar yang perlu diteliti semula.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membatalkan peningkatan syarat tersebut kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada ekosistem pelaburan serta amalan urus niaga hartanah berskala besar di negara ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS percaya kerajaan perlu memberi penjelasan komprehensif mengenai beberapa isu penting, termasuk sama ada syarat pemilikan 50 peratus ini merupakan dasar tetap Putrajaya atau pelaksanaannya dibuat secara terpilih (case by case), skop penuh transaksi terlibat atau ia hanya terpakai kepada pelupusan aset milik GLC dan GLIC.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menerangkan mengenai mekanisme pelaksanaan, pengecualian dan penilaian yang diguna pakai dan sama ada kajian penilaian impak menyeluruh telah dibuat ke atas keyakinan pelabur, kecairan pasaran dan nilaian aset milik negara.

Jelasnya, PAS percaya usaha pengukuhan pemilikan Bumiputera hendaklah dibuat melalui dasar-dasar yang kredibel, stabil dan kompetitif, bukan dasar kabur dan terburu-buru yang berpotensi melemahkan keyakinan pasaran, selain mengurangkan nilai aset-aset strategik terbabit.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyedari bahawa banyak daripada aset GLC dan GLIC berkait langsung dengan kepentingan rakyat melalui institusi-institusi seperti KWSP, Permodalan Nasional Bhd, LTAT, Tabung Haji dan lain-lain.

Sehubungan itu, ujaranya, apa-apa dasar yang mengehad pasaran atau memberi kesan ke atas nilaian aset akan mempengaruhi pulangan pelaburan/simpanan dan kepentingan rakyat sendiri.

“Negara memerlukan dasar-dasar yang bukan sahaja melindungi dan memajukan kepentingan Bumiputera, tetapi juga mengembangkan kekayaan negara, memperkukuh keyakinan pelabur, merancakkan ekonomi, selain dilaksanakan secara telus, konsisten dan profesional,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author