Terkini
Eksport pasir sungai tak datangkan kesan buruk, ia keperluan mendesak
- Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, beliau tidak melihat sebarang kerisauan terhadap ekosistem dalam pelaksanaan tersebut, malah mempertegaskan kepentingan mengorek pasir demi kelangsungan hidup rakyat.
- Bercakap kepada The Merdeka Times, aktivis alam sekitar itu menekankan bahawa langkah tersebut perlu disegerakan bagi menangani krisis banjir tahunan yang saban tahun menghantui penduduk di kawasan kritikal seperti Temerloh, Mentakab dan Sungai Lembing.
- Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera meneliti dan meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan syarikat tempatan menjalankan kerja-kerja mengorek serta mengeksport pasir sungai.
KUALA LUMPUR – Aktiviti eksport pasir sungai di Pahang dilihat tidak akan mendatangkan kesan buruk kepada persekitaran sebaliknya ia merupakan satu keperluan mendesak bagi memulihkan kapasiti sungai.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, beliau tidak melihat sebarang kerisauan terhadap ekosistem dalam pelaksanaan tersebut, malah mempertegaskan kepentingan mengorek pasir demi kelangsungan hidup rakyat.
Bercakap kepada The Merdeka Times, aktivis alam sekitar itu menekankan bahawa langkah tersebut perlu disegerakan bagi menangani bencana banjir tahunan yang saban tahun menghantui penduduk di kawasan kritikal seperti Temerloh, Mentakab dan Sungai Lembing.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera meneliti dan meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan syarikat tempatan menjalankan kerja-kerja mengorek serta mengeksport pasir sungai.
Daniel menjelaskan, fenomena banjir yang berulang di negeri itu berpunca daripada dasar sungai yang semakin cetek akibat mendapan pasir yang berlaku secara berterusan.
“Setiap tahun, malah boleh dikatakan setiap hari, paras pasir itu akan meningkat sedikit demi sedikit. Apabila dasar sungai menjadi tinggi, kapasiti takungan air akan berkurangan, sekali gus menyebabkan limpahan air berlaku dengan lebih cepat dan buruk.
“Sekiranya aktiviti mengorek pasir ini terus tertangguh, rakyat Pahang akan terus terbeban dengan kerugian harta benda yang besar setiap kali musim tengkujuh tiba,” tegas beliau.
Tambah beliau, kekerapan bencana tersebut turut memberi kesan langsung kepada kantung kerajaan negeri dan Persekutuan kerana terpaksa memperuntukkan dana yang besar bagi bantuan pasca-banjir.
“Apabila rakyat ditimpa masalah, kerajaan perlu menyalurkan bantuan dan tajaan. Justeru, pemulihan kapasiti sungai ini bukan sahaja membantu rakyat, malah mengurangkan implikasi kewangan kepada pihak kerajaan,” jelas beliau lagi.
Beliau berharap agar pihak berwajib dapat memberikan kelulusan segera terhadap aktiviti berkenaan bagi memastikan sistem saliran sungai kembali berfungsi secara optimum sebelum musim banjir yang seterusnya.
Semalam, The Merdeka Times melaporkan pandangan seorang pakar mengatakan bahawa aktiviti eksport pasir sungai di Pahang dikhuatiri tidak mampu memberikan pulangan ekonomi seperti yang diharapkan selain berisiko membawa kemusnahan besar kepada alam sekitar dan ekosistem setempat.
Walaupun usaha tersebut dilihat sebagai inisiatif menambah hasil negeri dan mengurangkan risiko banjir, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer memberi amaran mengenai implikasi negatif yang bakal timbul. – The Merdeka Times