Connect with us

Terkini

“Datang seminggu sekali ke Dataran Selangor, Hayati Rukun Negara” – Sultan Selangor tegur Wong Siew Ki, Ronnie Liu

Published

on

Foto: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  • Baginda menyarankan khusus kepada kedua-dua pemimpin berkenaan untuk datang ke lokasi tersebut seminggu sekali demi memahami dan menghayati Rukun Negara.
  • “Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan. ,” titah Baginda dalam satu kenyataan hari ini.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua wakil rakyat negeri itu khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan dari DAP, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP negeri, Ronnie Liu Tian Khiew untuk datang sendiri ke Dataran Selangor bagi membaca serta memahami makna Rukun Negara.

Baginda menyarankan khusus kepada kedua-dua pemimpin berkenaan untuk datang ke lokasi tersebut seminggu sekali demi memahami dan menghayati Rukun Negara.

“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara…

“…agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah Baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Baginda telah berangkat ke Dataran Selangor (Selangor Square) yang terletak di Shah Alam, Selangor untuk melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan dengan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Plak Monumen berkenaan dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor beserta dengan tempat duduk, yang disediakan untuk para pengunjung, di mana Baginda telah membiayai sepenuhnya kos bagi pembinaan keseluruhan projek tersebut.

Dengan terbinanya Plak Monumen itu, Sultan Selangor mengimbas kembali sejarah penubuhan Rukun Negara yang lahir ekoran pengisytiharan darurat akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Baginda memperingatkan bahawa Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai badan pemerintah pada ketika itu telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini.“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” titah Baginda. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author