Terkini
Syarikat Jepun perkenalkan paket monokrom kurangkan kebergantungan petroleum
- Gergasi snek terkemuka Jepun, Calbee, baru-baru ini mengumumkan pelan drastik untuk menukarkan pembungkusan produk mereka kepada konsep monokrom, iaitu hanya menggunakan warna hitam dan putih bagi menggantikan reka bentuk berwarna-warni yang digunakan sebelum ini.
- Memetik laporan Channel News Asia, langkah kreatif ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan berasaskan petroleum, khususnya dakwat percetakan yang memerlukan naphtha sebagai bahan utama.
- Langkah Calbee ini merupakan respons langsung terhadap kebimbangan gangguan bekalan bahan mentah berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
TOKYO – Di saat dunia berdepan dengan kebimbangan terhadap rantaian bekalan global, syarikat di Jepun dilihat sudah selangkah ke hadapan dalam melaksanakan langkah luar biasa bagi menjamin kelangsungan operasi mereka.
Gergasi snek terkemuka Jepun, Calbee, baru-baru ini mengumumkan pelan drastik untuk menukarkan pembungkusan produk mereka kepada konsep monokrom, iaitu hanya menggunakan warna hitam dan putih bagi menggantikan reka bentuk berwarna-warni yang digunakan sebelum ini.
Memetik laporan Channel News Asia, langkah kreatif itu bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan berasaskan petroleum, khususnya dakwat percetakan yang memerlukan naphtha sebagai bahan utama.
Langkah Calbee tersebut merupakan respons langsung terhadap kebimbangan gangguan bekalan bahan mentah berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Untuk rekod, Jepun mengimport kira-kira 40 peratus bekalan naphtha mereka dari rantau tersebut.
Dengan menukar kepada pembungkusan hitam putih, syarikat itu dapat menjimatkan penggunaan dakwat dan memastikan penghantaran produk ke pasaran kekal stabil meskipun berdepan gangguan logistik global.
Sebanyak 14 produk utama termasuk cip kentang popular, Kappa Ebisen dan bijirin Frugra akan mula menggunakan pembungkusan baharu ini di pasaran bermula 25 Mei ini.
Walaupun pihak industri mula mengambil langkah berwaspada, Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Kei Sato, menegaskan bahawa buat masa ini bekalan naphtha dan dakwat percetakan negara itu masih berada pada tahap yang selamat.
Beliau menyatakan bahawa simpanan stok persekutuan dan sumber import alternatif mencukupi untuk menampung keperluan domestik secara keseluruhan. – The Merdeka Times