Terkini
Bantahan roboh Kampung Asaon: Empat individu ditahan dibebaskan
- Aktivis, Fidaa’ Ahmad Fahmi berkata, empat individu tersebut termasuk beliau dan Abdul Qayyum Ilham dari Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), aktivis Borneo Komrad, Sabir Syarifuddin serta seorang penduduk kampung bernama Visto.
- Menurut beliau yang juga Presiden Suara Mahasiswa UMS, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas.
- Tambahnya, kesemua mereka ditahan sekitar pukul 12 tengah hari dan dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 12 tengah malam semalam.
KUALA LUMPUR – Tiga aktivis dan seorang penduduk Kampung Asaon, Matunggong yang ditahan susulan perhimpunan bantahan perobohan kampung itu semalam telah dibebaskan.
Bercakap dengan The Merdeka Times, aktivis, Fidaa’ Ahmad Fahmi berkata, empat individu tersebut termasuk beliau dan Abdul Qayyum Ilham dari Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), aktivis Borneo Komrad, Sabir Syarifuddin serta seorang penduduk kampung bernama Visto.
Menurut beliau yang juga Presiden Suara Mahasiswa UMS, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas.
Tambahnya, kesemua mereka ditahan sekitar pukul 12 tengah hari dan dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 12 tengah malam semalam.
“Kita menuntut supaya status tanah tersebut dikaji semula kerana setelah kajian dan lawatan tapak yang dilakukan oleh mahasiswa mendapati memang ada peninggalan-peninggalan nenek moyang di sana,” katanya ketika dihubungi.
Media semalam telah melaporkan bahawa keempat-empat individu tersebut ditahan susulan perhimpunan bantahan perobohan kampung itu.
TawauKini melaporkan, pergelutan yang tercetus mengakibatkan seorang pemuda kampung pengsan kerana didakwa ditarik oleh pihak berkuasa.
“Difahamkan sejak awal pagi penduduk kampung berhimpun untuk membantah perobohan kampung serta mahu berunding dengan pihak berkuasa,” lapornya.
Walau bagaimanapun, rundingan didakwa tidak berjaya sekaligus menyaksikan beberapa struktur rumah penduduk di kampung tersebut dibongkar dan dirobohkan menggunakan tukul dan mesin gergaji.
Mengulas lanjut, Fidaa’ menjelaskan bahawa mereka mengharapkan satu rundingan dan perbincangan yang tuntas antara penduduk kampung dan pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut secara harmoni antara kedua-dua belah pihak.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu memberikan literasi yang jelas serta menyeluruh kepada penduduk kampung berhubung prosedur yang perlu diikuti dan kaedah permohonan mengikut hak masing-masing.
“(Ini) Bukan hanya melemparkan tohmahan kepada orang kampung kerana tidak mengikuti prosedur. Sedangkan orang kampung ni rata-rata adalah golongan miskin yang tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa memorandum daripada penduduk kampung dan mahasiswa kepada pihak berkuasa berhubung isu tersebut telah ditolak atas alasan keputusan telah dibuat. – The Merdeka Times