Connect with us

Terkini

Abaikan SMPC, Utamakan pelajar Cina aliran STPM – Dr. Anuar

Published

on

Foto: Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad.
  • Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad menegaskan kerajaan sepatutnya mengabaikan sahaja SMPC yang menguruskan UEC dan membiarkan institusi itu kekal sebagai sekolah persendirian swasta manakala sijil UEC sewajarnya kekal tidak diiktiraf sama ada sepenuhnya atau secara separa.
  • “Bila fikir balik, kesian pelajar Cina yang ambil STPM. Sudahlah belajar lebih banyak subjek (SPM dan STPM), terpaksa dalam Bahasa Melayu pula. Kemudian mereka terpaksa pula bersaing dengan calon UEC untuk mendapat tempat ke IPTA. Saya nak tanya, siapa yang lebih ‘tersakiti’ atau terbeban? Pelajar Cina aliran STPM atau pelajar Cina aliran UEC?,” soal beliau.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran untuk melanjutkan sistem persekolahan di sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) sehingga ke peringkat Tingkatan Enam berbanding melayan tuntutan sekolah menengah persendirian cina (SMPC) yang menguruskan sijil peperiksaan bersama (UEC). 

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad mencadangkan agar institusi baharu itu dinamakan sebagai Kolej (Jenis Kebangsaan) Tingkatan Enam bagi memanfaatkan premis SMJK sedia ada yang sememangnya berada di bawah sistem pendidikan kebangsaan. 

Beliau menegaskan, kerajaan sepatutnya mengabaikan sahaja SMPC yang menguruskan UEC dan membiarkan institusi itu kekal sebagai sekolah persendirian swasta manakala sijil UEC sewajarnya kekal tidak diiktiraf sama ada sepenuhnya atau secara separa. 

“Yang pasti, kita tidak boleh sokong pengiktirafan UEC kerana sijil itu tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Jika anda cuba iktiraf UEC (walaupun secara bersyarat), maknanya anda telah melanggar dan menghina Dasar Pendidikan Negara… Mana letaknya jati diri dan maruah anda sebagai rakyat Malaysia?” soalnya di media sosial.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke semalam yang menyelar dakwaan pihak tertentu yang menuduh kerajaan cuba menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi pengiktirafan UEC.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, fakta menunjukkan bahawa lebih 80 peratus pelajar UEC menduduki peperiksaan SPM termasuk 9,580 daripada 10,944 pelajar pada tahun lepas sekali gus meyakinkan Kabinet bahawa pelajar aliran tersebut tetap mengambil peperiksaan kebangsaan sebagai asas pendidikan mereka.

Mengulas lanjut kenyataan Loke itu, Dr. Anuar membangkitkan persoalan sekiranya 80 peratus pelajar UEC sudah menduduki SPM, mengapa mereka tidak meneruskan sahaja pengajian ke Kolej Tingkatan Enam selepas SPM dan sebaliknya memilih untuk mendaftar pula bagi menduduki peperiksaan UEC. 

Menurut beliau, sekiranya kumpulan pelajar terbabit memilih untuk mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mereka secara automatik layak memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tanpa perlu timbul sebarang isu mendesak kerajaan menyediakan laluan khas atau pengiktirafan bersyarat. 

Malah, tegasnya, sejarah membuktikan sejak dahulu lagi ramai pelajar Cina lepasan SPM yang mengambil STPM, termasuk rakan-rakan sekuliah beliau yang kemudiannya bersama-sama melanjutkan pengajian ke IPTA, dengan jumlah calon Cina aliran STPM sebenarnya jauh lebih ramai berbanding calon Cina UEC.

Dr. Anuar menambah, situasi tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai rasional pemberian ‘laluan khas’ kepada calon UEC ke IPTA bagi jurusan tertentu yang hanya menetapkan syarat minimum kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah, sedangkan subjek lain dipelajari dalam bahasa ibunda mereka.

“Bila fikir balik, kesian pelajar Cina yang ambil STPM. Sudahlah belajar lebih banyak subjek (SPM dan STPM), terpaksa dalam Bahasa Melayu pula. “Kemudian mereka terpaksa pula bersaing dengan calon UEC untuk mendapat tempat ke IPTA. Saya nak tanya, siapa yang lebih ‘tersakiti’ atau terbeban? Pelajar Cina aliran STPM atau pelajar Cina aliran UEC? ,” katanya lagi. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author