Terkini
15,000 kakitangan Meta diberhentikan kerja, atau ditukar tugas baharu
- Memetik laporan CNN, Meta sedang melaksanakan penyusunan semula secara besar-besaran untuk memberikan tumpuan yang lebih mendalam terhadap kecerdasan buatan (AI).
- Meta mengumumkan pada bulan lepas bahawa ia akan memberhentikan 10 peratus daripada kakitangannya iaitu sekitar 8,000 pekerja di samping menutup 6,000 kekosongan jawatan.
- Pihak syarikat dilaporkan menyatakan bahawa pengurangan tersebut akan membantu mengimbangi pelaburannya dalam infrastruktur AI memandangkan ia merancang untuk membelanjakan sekurang-kurangnya AS$115 bilion bagi perbelanjaan modal pada tahun ini sahaja.
KUALA LUMPUR – Kira-kira 15,000 kakitangan Meta dilaporkan menerima e-mel yang memaklumkan bahawa mereka telah diberhentikan kerja atau ditugaskan ke peranan baharu.
Memetik laporan CNN, Meta sedang melaksanakan penyusunan semula secara besar-besaran untuk memberikan tumpuan yang lebih mendalam terhadap kecerdasan buatan (AI).
Meta mengumumkan pada bulan lepas bahawa ia akan memberhentikan 10 peratus daripada kakitangannya iaitu sekitar 8,000 pekerja di samping menutup 6,000 kekosongan jawatan.
Pihak syarikat dilaporkan menyatakan bahawa pengurangan tersebut akan membantu mengimbangi pelaburannya dalam infrastruktur AI memandangkan ia merancang untuk membelanjakan sekurang-kurangnya AS$115 bilion bagi perbelanjaan modal pada tahun ini sahaja.
“Kakitangan yang terkesan dengan pemberhentian kerja ini termasuk mereka yang bertugas dalam bahagian amanah dan keselamatan (trust and safety), infrastruktur pusat data, pengiklanan, realiti maya (VR) dan lain-lain. Maklumat tersebut adalah berdasarkan hantaran-hantaran para pekerja di laman LinkedIn.
“Selain daripada langkah pengurangan tersebut, Meta memaklumkan kepada kakitangannya minggu ini bahawa ia juga akan menugaskan semula tambahan 7,000 pekerja dari seluruh syarikat ke peranan yang berfokuskan AI,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Mark Zuckerberg memberitahu para pekerja bahawa beliau tidak menjangkakan akan ada lagi sebarang pemberhentian kerja yang melibatkan keseluruhan syarikat pada tahun ini.
Meta merupakan syarikat terbaharu yang melakukan pengurangan besar-besaran berkaitan AI, memandangkan syarikat-syarikat kini mahu beroperasi dengan tenaga kerja yang lebih kecil serta lebih cekap di samping memperuntukkan lebih banyak dana bagi inisiatif AI.
Pada Rabu lalu, syarikat perisian Intuit dilaporkan turut memaklumkan kepada kakitangannya mengenai rancangan untuk memberhentikan 17 peratus daripada jumlah pekerjanya, iaitu melibatkan kira-kira 3,000 orang.
Secara keseluruhannya, lebih daripada 114,000 pekerja sektor teknologi telah diberhentikan sejak awal tahun ini, menurut data daripada laman penjejak pemberhentian kerja, Layoffs.fyi. – The Merdeka Times