Connect with us

Terkini

Tindakan ke atas wartawan dedah kebenaran  disifatkan intimidasi

Published

on

Foto: Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Khairun Nizam Mohammad Yusuff (Gambar kecil).
  • Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Khairun Nizam Mohammad Yusuff menegaskan bahawa sekiranya wartawan tersebut menjalankan tanggungjawab mendedahkan kebenaran tanpa niat jahat dan mengikut lunas undang-undang, tindakan itu dilihat sebagai satu bentuk intimidasi.
  • Beliau menekankan bahawa wartawan bertindak berdasarkan arahan tugas daripada editor yang pastinya memahami prosedur operasi standard (SOP) pelaporan berita secara jelas.
  • “Peranan media bukan untuk menghukum, tetapi untuk menyampaikan kebenaran berdasarkan fakta. Jika tindakan ini berasaskan niat untuk menekan media, ia adalah sesuatu yang amat dikesali,”kata beliau.

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan ke atas wartawan oleh pihak berkuasa adalah tidak wajar selagi pengamal media tersebut telah mematuhi etika kewartawanan yang ditetapkan. 

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Khairun Nizam Mohammad Yusuff menegaskan bahawa sekiranya wartawan tersebut menjalankan tanggungjawab mendedahkan kebenaran tanpa niat jahat dan mengikut lunas undang-undang, tindakan itu dilihat sebagai satu bentuk intimidasi. 

Beliau menekankan bahawa wartawan bertindak berdasarkan arahan tugas daripada editor yang pastinya memahami prosedur operasi standard (SOP) pelaporan berita secara jelas.

“Peranan media bukan untuk menghukum, tetapi untuk menyampaikan kebenaran berdasarkan fakta. Jika tindakan ini berasaskan niat untuk menekan media, ia adalah sesuatu yang amat dikesali,”kata beliau ketika dihubungi The Merdeka Times.

Dilaporkan, polis menyerbu rumah wartawan kanan Malaysiakini, B Nantha Kumar berkaitan siasatan terhadap laporan mengenai cadangan sistem pengambilan pekerja asing.

Nantha berkata dua pegawai polis berpakaian biasa tiba pada jam 2.30 petang dan menggeledah kediaman di Seri Serdang selama kira-kira 45 minit.

“Bagaimanapun, tiada barang dirampas semasa serbuan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairun Nizam berpendapat, insiden seumpama itu dilihat sebagai satu cabaran besar bagi pengamal media yang hanya menjalankan tanggungjawab profesional mereka untuk menyampaikan kebenaran.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai sikap pihak tertentu yang gagal memberikan kerjasama atau maklum balas apabila dihubungi oleh media sebelum ini. 

Dalam pada itu, pakar komunikasi, Profesor Datuk Dr. Ismail Sualman  berkata, setiap tugasan kewartawanan penyiasatan mestilah kekal berada di landasan undang-undang, terutamanya melibatkan maklumat yang diklasifikasikan sebagai sulit atau rahsia rasmi. 

Menurutnya, dalam etika kewartawanan, perkara yang dianggap rahsia tidak boleh dibongkar sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan implikasi perundangan yang sedia ada.“Saya rasa, pihak polis melakukan tindakan pencegahan (preventive action) supaya dapat mencegah lebih awal, kerana ia lebih baik daripada membiarkan maklumat tersebut tersebar. Langkah ini mungkin bertujuan bagi memastikan wujudnya keamanan, selain mengelakkan kekacauan serta rasa tidak tenteram dalam kalangan rakyat,” katanya. – The Merdeka Times.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author