Connect with us

Terkini

Lelaki gali kubur adik, bawa rangka mayat ke bank tuntut baki akaun RM820

Published

on

Foto: Tangkap layar klip video tersebut.
  • Seorang lelaki, Jitu Munda di daerah Keonjhar, Odisha, India berjalan sejauh tiga kilometer di bawah terik matahari sambil memikul rangka mayat adiknya ke sebuah bank.
  • Apabila Jitu pergi ke bank untuk mengeluarkan baki Rs 19,300 dalam akaun adiknya, pengurus bank menolak permintaannya dengan alasan pemegang akaun mesti hadir atau dia perlu menyediakan dokumen waris sah.
  • Jitu kemudian pergi ke kawasan kubur di kampungnya dan menggali keluar sisa rangka adiknya, membungkusnya dengan kain, dan berjalan sejauh 3 km ke bank dalam cuaca panas terik.

ODISHA – Seorang lelaki di daerah Keonjhar, Odisha, India berjalan sejauh tiga kilometer di bawah terik matahari sambil memikul rangka mayat adiknya ke sebuah bank dalam usaha mendapatkan semula Rs 19,300 (kira-kira RM820) daripada akaunnya.

Lelaki tersebut, Jitu Munda, berasal dari kampung Dianali di Keonjhar. 

Adiknya, Kakra Munda yang mempunyai akaun di Odisha Gramin Bank, di Mallipasi, India Kakra meninggal dunia dua bulan lalu. 

Suami dan anak tunggalnya telah meninggal dunia lebih awal, menjadikan Jitu satu-satunya saudara yang masih hidup, lapor NDTV.

Apabila Jitu pergi ke bank untuk mengeluarkan baki Rs 19,300 dalam akaun adiknya, pengurus bank menolak permintaannya dengan alasan sama ada pemegang akaun mesti hadir atau dia perlu menyediakan dokumen waris sah.

Sebagai seorang lelaki suku kaum tanpa pendidikan, Jitu tidak mempunyai sijil kematian atau dokumen pewarisan, dan pulang dengan hampa kerana tidak dapat memahami proses yang rumit tersebut.

Jitu kemudian pergi ke kawasan kubur di kampungnya dan menggali keluar sisa rangka adiknya, membungkusnya dengan kain, dan berjalan sejauh 3 km ke bank dalam cuaca panas terik.

Apabila Jitu tiba di bank, perbuatannya mengejutkan penduduk setempat. 

Ada yang menangis, manakala yang lain marah. 

Penduduk kampung menuduh pihak bank tidak berperikemanusiaan. 

“Adakah begitu sukar bagi orang miskin untuk mendapatkan wangnya sendiri?” soal mereka.

Penduduk tempatan berkata pihak bank sebenarnya boleh membuat pengesahan dengan Ketua Kampung atau melakukan lawatan lapangan, tetapi urusan dokumentasi mengatasi rasa kemanusiaan.

Polis tiba di lokasi selepas dimaklumkan, menenangkan Jitu dan mengambil alih keadaan. 

Polis berkata kes ini akan dikendalikan atas dasar kemanusiaan dan telah meminta penjelasan daripada pihak bank. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author