Connect with us

Terkini

Doktor Yahudi pelopor hak LGBTQ+

Published

on

Foto: Doktor dan ahli seksologi berketurunan Yahudi dari Jerman, Dr. Magnus Hirschfeld
  • Menurut artikel kajian yang diterbitkan ANU Museum of the Jewish People, seorang doktor dan ahli seksologi berketurunan Yahudi dari Jerman, Dr. Magnus Hirschfeld, diiktiraf sebagai antara ‘tokoh’ terawal yang memperjuangkan hak golongan LGBTQ+ lebih satu abad lalu.
  • Pada tahun 1897, Hirschfeld bersama beberapa ‘tokoh’ lain menubuhkan Jawatankuasa Kemanusiaan Saintifik, yang dianggap sebagai organisasi pertama memperjuangkan hak golongan homoseksual dan transgender.
  • Sebagai seorang Yahudi, lelaki gay dan aktivis, Hirschfeld menjadi sasaran golongan nasionalis Jerman. Artikel itu menyatakan beliau pernah dipukul sehingga cedera parah pada tahun 1920. Selepas parti Nazi berkuasa pada 1933, institut yang diasaskannya diserbu, harta benda dimusnahkan dan buku-buku dibakar.

BERLIN – Seorang doktor dan ahli seksologi berketurunan Yahudi dari Jerman, Dr. Magnus Hirschfeld, diiktiraf sebagai antara ‘tokoh’ terawal yang memperjuangkan hak golongan LGBTQ+ lebih satu abad lalu, menurut satu artikel kajian yang diterbitkan oleh ANU Museum of the Jewish People.

Menurut artikel bertajuk “Pride and Prejudice: The Jewish Doctor Who Fought for LGBT Rights Over a Century Ago”, Hirschfeld memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman awal masyarakat terhadap kepelbagaian orientasi seksual dan identiti jantina.

Hirschfeld dilahirkan pada tahun 1868 di Kolberg (kini Kolobrzeg, Poland) sebelum berpindah ke Jerman untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Pada tahun 1896, beliau menetap di Berlin dan membuka klinik sendiri, sekali gus memulakan kerjaya aktif dalam kajian seksualiti serta advokasi hak minoriti seksual.

Artikel itu menyatakan bahawa penglibatan Hirschfeld didorong oleh pengalaman merawat pesakit yang mengalami tekanan akibat orientasi seksual mereka, termasuk kes cubaan bunuh diri. Pada tahun 1919, beliau turut terlibat dalam filem Different from the Others yang membawa mesej pencegahan bunuh diri berkait diskriminasi terhadap homoseksual.

Pada tahun 1897, Hirschfeld bersama beberapa ‘tokoh’ lain menubuhkan Jawatankuasa Kemanusiaan Saintifik, yang dianggap sebagai organisasi pertama memperjuangkan hak golongan homoseksual dan transgender.

Menurut kajian tersebut, jawatankuasa itu berusaha meningkatkan pemahaman saintifik terhadap homoseksualiti serta memperjuangkan pemansuhan undang-undang yang mengkriminalkan hubungan sesama lelaki di Jerman.

Satu petisyen bagi memansuhkan undang-undang tersebut dilaporkan menerima ribuan tandatangan, termasuk daripada ahli fizik terkenal, Albert Einstein.

Dalam kajiannya, Hirschfeld turut memperkenalkan konsep perantaraan seksual, yang merangkumi individu transgender serta mereka yang berorientasi homoseksual, lesbian dan biseksual, menjadikannya antara tokoh awal yang mengiktiraf kepelbagaian identiti jantina dan seksualiti manusia.

Selain itu, beliau juga mengaitkan perjuangan hak LGBTQ+ dengan hak wanita serta menyokong akses kepada kontraseptif, pengguguran kandungan dan hubungan sebelum perkahwinan. Beliau turut menentang dasar yang melarang wanita berkahwin atau mempunyai anak daripada berkhidmat sebagai guru atau penjawat awam.

Pada tahun 1919, Hirschfeld menubuhkan Institut Penyelidikan Seksual di Berlin yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan pendidikan kepada ribuan pengunjung setiap tahun, termasuk rawatan kepada individu transgender.

Namun, sebagai seorang Yahudi, lelaki gay dan aktivis, Hirschfeld menjadi sasaran golongan nasionalis Jerman. Artikel itu menyatakan beliau pernah dipukul sehingga cedera parah pada tahun 1920. Selepas parti Nazi berkuasa pada 1933, institut yang diasaskannya diserbu, harta benda dimusnahkan dan buku-buku dibakar.

Institut tersebut akhirnya ditutup, manakala Hirschfeld yang berada di luar negara ketika itu tidak kembali ke Jerman dan menetap di Perancis sehingga meninggal dunia pada tahun 1935.

Walaupun tidak sempat menyaksikan perubahan besar dalam masyarakat, artikel tersebut menyimpulkan bahawa banyak idea yang diperjuangkan oleh Hirschfeld akhirnya diterima secara lebih meluas, sekali gus menjadikannya antara pelopor awal dalam sejarah perjuangan hak LGBTQ+.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author