Terkini
AI senjata propaganda, Israel cipta mangsa palsu manipulasi naratif krisis wanita Iran
- Menurut laporan khas Al Jazeera, taktik terancang ini digunakan untuk menggambarkan wanita Iran sebagai mangsa ‘oriental’ yang lemah dan memerlukan campur tangan ‘penyelamat’ dari pihak luar.
- Siasatan mendapati pelbagai imej dan video yang tular di media sosial sebenarnya adalah rekaan semata-mata yang dicipta sebuah syarikat Israel yang dikenali sebagai Generative AI For Good.
- “Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ada berkongsi perkara ini: Foto-foto lapan wanita Iran yang, menurut beliau, hampir dihukum mati sehinggalah beliau ‘campur tangan’ dan menyelamatkan mereka,” jelas laporan itu.
KUALA LUMPUR – Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini telah diubah menjadi senjata utama dalam peperangan naratif global, khususnya bagi memanipulasi pemikiran dunia dengan mencipta propaganda palsu berhubung krisis yang melibatkan wanita di Iran.
Berdasarkan laporan khas yang diterbitkan stesen televisyen antarabangsa Al Jazeera menerusi wartawan Soraya Lennie, taktik terancang ini digunakan untuk menggambarkan wanita Iran sebagai mangsa ‘oriental’ yang lemah dan memerlukan campur tangan ‘penyelamat’ dari pihak luar.
Siasatan pihak stesen tersebut mendapati pelbagai imej dan video yang tular di media sosial sebenarnya adalah rekaan semata-mata.
Pendedahan Al Jazeera turut merungkai bahawa ada video yang merupakan produk ciptaan sebuah syarikat Israel yang dikenali sebagai Generative AI For Good.
Syarikat ini mentakrifkan entiti mereka sebagai syarikat yang kononnya menggunakan AI untuk ‘mengangkat suara yang disenyapkan’, khususnya berhubung isu keganasan seksual.
Menurut syarikat itu, wajah wanita berkenaan disunting dengan AI untuk melindungi identitinya. Namun siasatan mendapati keseluruhan babak dalam video tersebut termasuk rak buku, langsir, malah periuk samovar di latar belakang adalah janaan AI.
Video tersebut telah memanipulasi emosi orang ramai dengan menyuntik sentimen nasionalis dan mendakwa tanpa bukti bahawa ribuan penunjuk perasaan, termasuk kanak-kanak, menjadi mangsa keganasan seksual yang ekstrem.
“Pakar antropologi menyatakan bahawa menggambarkan wanita ‘oriental’ sebagai mangsa yang lemah dan memerlukan penyelamatan merupakan antara alat propaganda paling ampuh dalam strategi politik serta peperangan moden.
“Gambaran ini direka khusus untuk menarik perhatian khalayak kulit putih di Barat. Inilah sebabnya mengapa sebahagian besar dunia, termasuk aktivis diaspora Iran yang terkemuka, lebih memberikan fokus kepada apa yang dipakai oleh wanita Iran atau undang-undang hijab di negara itu, berbanding isu hak kesamarataan yang lebih substantif,” kata laporan bervisual tersebut.
Menurut laporan tersebut, taktik inilah juga yang merancakkan sentimen global sehingga wujud kempen warga asing memotong rambut tanda solidariti.
Propaganda AI ini juga tambahnya, dilihat berjaya menembusi hierarki politik tertinggi antarabangsa.
“Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ada berkongsi perkara ini: Foto-foto lapan wanita Iran yang, menurut beliau, hampir dihukum mati sehinggalah beliau ‘campur tangan’ dan menyelamatkan mereka,” jelas laporan itu.
Bagaimanapun, badan kehakiman Iran telah menafikan dakwaan tersebut sama sekali.
Menurut pakar, jelas laporan itu, gambar lapan wanita itu telah diubah suai pada tahap yang sangat melampau sehingga mencetuskan perdebatan sama ada ia adalah janaan AI sepenuhnya atau disunting untuk menjadikannya lebih ‘menarik’.
Kesemua wanita dalam gambar berkenaan sengaja ditonjolkan dengan pakej ‘mangsa yang sempurna’ iaitu muda, cantik, tanpa hijab dan kebanyakannya berambut perang.
Dalam merumuskan laporan tersebut, Soraya Lennie menegaskan satu realiti pahit.
Walaupun diakui terdapat ribuan tahanan di penjara Iran ketika ini, namun perang hari ini bukan sekadar mengenai letupan bom, tetapi juga perang naratif media.
Pendedahan ini membuktikan satu hakikat yang menakutkan tentang landskap maklumat global hari ini iaitu jika sesetengah pihak tidak dapat mencari mangsa yang sempurna untuk menjayakan agenda propaganda mereka, mereka hanya perlu mengarahkan AI untuk menciptanya. – The Merdeka Times