Connect with us

Terkini

Pembohongan terbesar’ – Peguam Na’imah tolak dakwaan rancang jatuhkan Kerajaan

Published

on

Foto: Peguam Nizamuddin Hamid.
  • “Sepanjang kami menjalankan tugas sebagai peguam kepada Puan Na’imah, langsung tiada sebarang perbincangan atau arahan diberikan kepada kami untuk menjatuhkan kerajaan atau melemahkan demokrasi berparlimen negara. Tiada langsung perkara sedemikian, dan dakwaan itu adalah ‘pembohongan terbesar’,”- Peguam Nizamuddin Hamid
  • Seorang pengadu yang dikenal pasti sebagai editor berusia 54 tahun mendakwa Na’imah terlibat dalam satu rancangan bersama sekumpulan individu yang didakwa mahu menggunakan sekurang-kurangnya lima media antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya wujud rancangan untuk menjatuhkan kerajaan yang melibatkan balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin disifatkan sebagai “pembohongan terbesar” oleh peguam yang mewakilinya.

Peguam Nizamuddin Hamid, yang sebelum ini mewakili balu tokoh korporat dan bekas Menteri Kewangan itu, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, dalam beberapa kes mahkamah, menegaskan bahawa dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan adalah tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, sepanjang beliau dan pasukannya menjalankan tugas sebagai peguam kepada Na’imah, tidak pernah berlaku sebarang perbincangan atau arahan berkaitan usaha menjatuhkan kerajaan atau menggugat sistem demokrasi berparlimen negara.

“Sepanjang kami menjalankan tugas sebagai peguam kepada Puan Na’imah, langsung tiada sebarang perbincangan atau arahan diberikan kepada kami untuk menjatuhkan kerajaan atau melemahkan demokrasi berparlimen negara.

“Tiada langsung perkara sedemikian, dan dakwaan itu adalah ‘pembohongan terbesar’. Apa yang penting ialah semua pihak perlu memberi tumpuan kepada fakta sebenar bahawa keluarga Allahyarham Tun Daim mempunyai hak untuk mempertahankan diri di mahkamah dan juga di ruang media,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Sebelum ini, polis dalam satu taklimat media tidak menamakan mana-mana individu secara khusus berhubung laporan polis yang mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Namun, salinan laporan polis tersebut kemudian tular di media sosial.

Dalam laporan berkenaan, seorang pengadu yang dikenal pasti sebagai editor berusia 54 tahun mendakwa bahawa Na’imah terlibat dalam satu rancangan bersama sekumpulan individu yang didakwa mahu menggunakan sekurang-kurangnya lima media antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Laporan itu turut mendakwa bahawa pelobi di beberapa negara termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat didakwa terlibat dalam usaha mempengaruhi pihak berkuasa Malaysia, yang kononnya berkait dengan percubaan menggugurkan pertuduhan dalam siasatan SPRM.

Mengulas perkara itu, Nizamuddin mengesahkan bahawa beliau merupakan antara peguam yang dinamakan dalam laporan polis tersebut, namun menegaskan dakwaan berkenaan tidak berasas.

Beliau turut menambah bahawa keluarga Allahyarham Daim mempunyai hak untuk mempertahankan legasi bekas tokoh politik itu daripada tuduhan yang tidak berasas.

Sementara itu, Na’imah sendiri menafikan semua dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak benar serta tidak masuk akal, selain mendakwa laporan polis tersebut dibuat oleh individu yang tidak berpuas hati.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author