Terkini
Kontroversi pijak al-Quran: Muslim atau tidak, tetap perlu dihukum – Firdaus Wong
- “Prinsip saya konsisten. Sama ada dia Muslim atau belum Muslim, dia harus bertanggungjawab serta menerima hukuman di atas perbuatannya,” – Firdaus Wong
- Beliau turut mengakui terkejut dengan dakwaan insiden tersebut memandangkan individu itu sebelum ini pernah menunjukkan minat terhadap Islam serta keterujaan menerima hadiah al-Quran daripadanya.
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong menegaskan prinsip keadilan mesti ditegakkan tanpa mengira latar belakang atau status agama, susulan kontroversi melibatkan individu dikenali sebagai Ryan Vikneswaran yang didakwa memijak al-Quran.
Dalam satu hantaran di Facebook, Firdaus menekankan bahawa soal pertanggungjawaban tidak boleh dikompromi.
“Prinsip saya konsisten. Sama ada dia Muslim atau belum Muslim, dia harus bertanggungjawab serta menerima hukuman di atas perbuatannya,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan latar belakang hubungannya dengan individu berkenaan yang kini menjadi perhatian umum. Menurut Firdaus, lelaki itu mula menghubunginya pada 19 Jun 2024 sebelum sanggup datang dari Kuantan ke Bukit Bintang pada 15 September 2024 bagi tujuan berdialog.
Selepas lebih sebulan tidak berkomunikasi, individu tersebut kembali menghubunginya pada 13 November 2024 dan menyatakan hasrat untuk memeluk Islam.
Namun, lafaz syahadah hanya direalisasikan apabila beliau sekali lagi menghubungi Firdaus pada 20 April 2025 dan meminta agar syahadahnya disaksikan.
Firdaus berkata sepanjang perkenalan, individu itu menunjukkan adab yang baik dan tutur kata yang lembut, malah perkara sama turut dimaklumkan oleh beberapa pihak yang pernah mengenali serta mengajarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan gambaran peribadi tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan tindakan undang-undang sekiranya kesalahan terbukti.
“Muallaf atau Muslim bukan alasan untuk diringankan hukuman. Prinsip keadilan mesti diperjuangkan tanpa mengira agama, bangsa mahupun politik,” katanya.
Beliau turut mengakui terkejut dengan dakwaan insiden tersebut memandangkan individu itu sebelum ini pernah menunjukkan minat terhadap Islam serta keterujaan menerima hadiah al-Quran daripadanya.
Namun, Firdaus menegaskan sekiranya individu berkenaan berada dalam keadaan waras ketika kejadian, maka proses perundangan perlu berjalan seperti biasa dan hukuman setimpal wajar dikenakan.-The Merdeka Times