Terkini
Israel mahu hancurkan Iran dan negara Teluk – Wartawan AS
- Dalam programnya pada Isnin, pengulas politik dan wartawan Amerika Syarikat, Tucker Carlson mempersoalkan logik di sebalik dakwaan bahawa ejen perisikan Mossad ditahan di Arab Saudi dan Qatar kerana merancang serangan pengeboman di negara tersebut.
- “Kenapa Israel mahu melakukan pengeboman di negara-negara Teluk yang juga sedang diserang Iran? Bukankah mereka berada di pihak yang sama?” kata Carlson dalam rancangan itu.
- Beliau kemudian mendakwa bahawa Israel sebenarnya mahu melemahkan bukan sahaja Iran tetapi juga beberapa negara Arab di rantau Teluk termasuk Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman dan Kuwait.
KUALA LUMPUR – Pengulas politik dan wartawan Amerika Syarikat, Tucker Carlson, mempersoalkan kemungkinan penglibatan Israel dalam usaha mencetuskan ketidakstabilan di negara-negara Teluk walaupun negara-negara tersebut turut berdepan ancaman daripada Iran.
Dalam programnya pada Isnin, Carlson mempersoalkan logik di sebalik dakwaan bahawa ejen perisikan Mossad ditahan di Arab Saudi dan Qatar kerana merancang serangan pengeboman di negara tersebut.
“Kenapa Israel mahu melakukan pengeboman di negara-negara Teluk yang juga sedang diserang Iran? Bukankah mereka berada di pihak yang sama?” kata Carlson dalam rancangan itu.
Beliau kemudian mendakwa bahawa Israel sebenarnya mahu melemahkan bukan sahaja Iran tetapi juga beberapa negara Arab di rantau Teluk termasuk Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman dan Kuwait.
Menurut Carlson, strategi tersebut bertujuan mewujudkan ketidakstabilan dalam kalangan sekutu Arab kepada Amerika Syarikat di Timur Tengah.
Dakwaan itu muncul ketika konflik serantau semakin memuncak susulan operasi ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang mencetuskan gelombang tindak balas dari Tehran.
Iran dilaporkan melancarkan serangan balas terhadap sasaran Israel dan aset ketenteraan Amerika di rantau tersebut, sekali gus mengganggu laluan perdagangan serta bekalan tenaga global.
Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) mendakwa pihaknya menyerang ratusan lokasi berkaitan Amerika Syarikat dan Israel menggunakan ratusan dron serta peluru berpandu.
Dalam perkembangan berkaitan, satu serangan dron turut mencetuskan kebakaran kecil di kemudahan penapisan minyak milik Saudi Aramco di Ras Tanura, Arab Saudi.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Iran menafikan penglibatan Tehran dalam serangan tersebut dan mendakwa operasi dron itu sebenarnya dilakukan oleh Israel dan Amerika Syarikat dari pangkalan di negara-negara Arab.
Tehran turut menuduh kedua-dua negara berkenaan cuba memprovokasi negara-negara Arab supaya menyerang Iran, sekali gus berpotensi mencetuskan konflik lebih luas di dunia Islam.-The Merdeka Times