Terkini
Semakan perintah reman Tamim Dahri: Keabsahan patuh Perlembagaan
- Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan semakan terhadap perintah reman melibatkan aktivis kempen membantah kuil yang didakwa tidak sah, Tamim Dahri dan beberapa individu lain, bukan bersifat teknikal semata-mata, sebaliknya menyentuh asas undang-undang yang wajib dipatuhi dalam setiap prosiding reman.
- Peguamnya, Muhammad Hariz Bin Md Yusoff, berkata Keputusan itu dibuat di bawah kuasa Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), selepas mahkamah mendapati wujud kecacatan dalam prosiding reman di Mahkamah Majistret.
- “Ini soal keabsahan. Keabsahan. Keabsahan. Pematuhan Seksyen 117, 119 Kanun Tatacara Jenayah serta Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan” katanya dalam satu kenyataan.
SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan semakan terhadap perintah reman melibatkan aktivis kempen membantah kuil yang didakwa tidak sah, Tamim Dahri dan beberapa individu lain, bukan bersifat teknikal semata-mata, sebaliknya menyentuh asas undang-undang yang wajib dipatuhi dalam setiap prosiding reman.
Peguamnya, Muhammad Hariz Bin Md Yusoff, berkata Keputusan itu dibuat di bawah kuasa Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), selepas mahkamah mendapati wujud kecacatan dalam prosiding reman di Mahkamah Majistret.
“Ini soal keabsahan. Keabsahan. Keabsahan. Pematuhan Seksyen 117, 119 Kanun Tatacara Jenayah serta Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Hariz berkata Mahkamah Tinggi dalam alasan ringkasnya, mendapati Mahkamah Majistret gagal mengikuti prinsip dan nas duluan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan berhubung standard yang perlu dipenuhi sebelum perintah reman dibenarkan.
Mahkamah Tinggi turut meneliti diari siasatan dan mendapati ia tidak menyatakan keperluan yang munasabah untuk menahan Orang Yang Disyaki (OYDS).
Menurut Muhammad Hariz, diari siasatan merupakan dokumen penting dalam prosiding reman dan mesti menunjukkan sebab kukuh mengapa kebebasan seseorang perlu dilucutkan.
“Mahkamah bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 387 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan yang boleh dijamin.
“Sehubungan itu, mahkamah berpendapat pihak polis mempunyai pilihan untuk memberikan jaminan polis tanpa perlu memohon perintah reman,” jelasnya.
Muhammad Hariz berkata empat alasan dikemukakan pihak polis bagi menyokong permohonan reman, iaitu pengambilan cap jari, rakaman percakapan, menunggu penentuan IPK terhadap kertas siasatan serta penentuan status pemilikan tanah.
Bagaimanapun katanya, Mahkamah Tinggi memutuskan kesemua tindakan tersebut boleh dilakukan tanpa perlu menahan OYDS.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk membatalkan perintah reman dua hari terhadap Tamim Dahri dan tiga rakannya serta mengarahkan mereka dibebaskan serta-merta. – The Merdeka Times