Terkini
Rumah ibadat haram: Ketetapan MKN Selangor bercanggah Pelembagaan, Kanun Tanah Negara – Zainul Rijal
- Mengulas kenyataan rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari yang dikeluarkan Jumaat, Peguam, Datuk Zainul Rijal membangkitkan persoalan sama ada ketetapan itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang tanah sedia ada.
- “Tahukah YAB Dato’ Sri bahawa kenyataan Dato’ Sri ini bertentangan dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan berkaitan pemilikan dan hak menikmati pemilikan tersebut?” katanya.
- Beliau berkata ketetapan tersebut didakwa bertentangan dengan Kanun Tanah Negara mengenai penggunaan tanah dan pencerobohan serta menafikan hak tuan tanah.
Shah Alam – Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, tampil mempersoalkan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor berhubung isu rumah ibadat yang didakwa dibina tanpa kelulusan di atas tanah milik persendirian, dengan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai bercanggah dengan hak pemilikan yang dijamin undang-undang.
Mengulas kenyataan rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari yang dikeluarkan Jumaat, Zainul Rijal membangkitkan persoalan sama ada ketetapan itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang tanah sedia ada.
“Tahukah YAB Dato’ Sri bahawa kenyataan Dato’ Sri ini bertentangan dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan berkaitan pemilikan dan hak menikmati pemilikan tersebut?” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya.
Beliau berkata ketetapan tersebut didakwa bertentangan dengan Kanun Tanah Negara mengenai penggunaan tanah dan pencerobohan serta menafikan hak tuan tanah.
Menurutnya, kenyataan itu juga tidak selari dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan kewajipan dan kaedah mengendalikan hak berkaitan pemilikan.
Zainul Rijal turut mempersoalkan pendirian sebuah pihak berkuasa tempatan yang menyatakan tuan tanah perlu menyelesaikan sendiri isu pencerobohan di atas tanah miliknya, selain membangkitkan keadaan di mana pihak polis dan pihak berkuasa tempatan didakwa tidak mengambil sebarang tindakan walaupun laporan polis dan aduan telah dibuat.
Beliau menyifatkan ketetapan itu seolah-olah mengiktiraf sesuatu yang tidak mengikut undang-undang dan meletakkan beban kepada pihak yang mematuhi undang-undang.
Zainul Rijal mengulas mengenai pengumuman Menteri Besar Selangor yang memaklumkan bahawa Mesyuarat MKN Negeri Selangor telah diadakan susulan insiden di Rawang yang menimbulkan kegusaran awam.
Dalam ketetapan tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa bagi rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik persendirian, pemilik tanah perlu melantik peguam dan mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengosongan atau perobohan boleh dilakukan.
Pemilik tanah juga diminta membuat laporan polis, menghantar notis kepada pihak penceroboh serta memaklumkan kepada Pejabat Daerah, manakala Jawatankuasa Keselamatan Daerah akan bertindak sebagai pengantara bagi mencapai penyelesaian. – The Merdeka Times